Pelakon, Ahirine Ahirudin menafikan dirinya menjadi punca kepada masalah rumah tangga pasangan selebriri, Farid Kamil dan Diana Danielle hingga menuju kepada penceraian.
Jelas Ahirine, 27, hubungannya bersama Farid Kamil tidak lebih sekadar rakan pelakon, dan tuduhan sebagai penyondol yang dilemparkan kepadanya adalah sangat tidak berasas.
Katanya lagi, beliau juga kini sedang bercinta dengan orang lain namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Penyondol? Buat apa saya nak sondol kalau saya sedang bahagia dengan orang lain?
“Saya dah berapa bulan tak sembang dengan Farid. Senang-senang nak petik nama saya hanya kerana saya pernah berlakon dengannya.
“Saya dan Farid tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa langsung. Orang pandai cakap di akhirat nanti, mereka sendiri menjawab fitnah dilemparkan,” katanya.
Nama Ahirine menjadi sebutan selepas bergandingan bersama Farid Kamil dalam filem Remp-It 2 tahun lalu. Pun begitu jelasnya, hubungan mereka sekadar kawan yang sama-sama gemarkan aktiviti sukan permotoran, dan tidak pula sampai ke tahap bercinta.
“Saya dengan Farid dah macam ‘member’. Kami pun dalam kelompok sama (sukakan sukan permotoran). Dia pun ceburi sukan muay Thai macam saya.
“Kalau pergi training (latihan) motor atau Muay Thai pun, DD (Diana Danielle) dan anak-anak ada sekali.
“Saya faham jadi figura dikenali memang ada kesan tersendiri. Orang senang-senang buat spekulasi tanpa memikirkan kesan terhadap emosi kita.
“Macam saya cakap, lama tak borak dengan Farid sebab saya pun baru balik ‘shooting’ di Sarawak sebulan lebih filem Tebus bersama Aedy Ashraf. Kalau tak, memang akan pergi ‘training’ motor atau muay Thai sama-sama,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Diana Danielle telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil atas alasan tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan). Farid bagaimanapun enggan melafazkan cerai dan kes mereka dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.
Sumber: Kosmo! Online