Pelakon, Afifah Nasir mengakui tertarik dengan lelaki yang tidak terlalu taksub dengan media sosial hinggakan perlu berkongsi segala perkara peribadi kepada umum.
Ujarnya, beliau mahu bakal suaminya adalah orang yang tidak terlalu hidup dengan media sosial, tidak bekerjaya dalam bidang hiburan dan juga hormat ruang peribadinya.
"Memandangkan saya meletakkan had untuk ruang peribadi, saya juga tertarik dengan lelaki yang tidak terlalu taksub dengan media sosial. Bukan semua perkara perlu dimuat naik.
"Kalau boleh tiada akaun media sosial lebih baik. Tetapi, zaman begini jaranglah orang tidak ada Instagram, kan?
"Itu juga antara faktor menarik minat saya untuk menjalinkan hubungan ke arah serius bersama teman lelaki. Dia bukan orang industri dan tidak aktif dengan media sosial," katanya.
Ditanya soal perkahwinan, beliau dan bakal suami berkata mereka hanya mampu merancang dan sebaliknya Allah yang menentukan.
Katanya, beliau akan sibuk sepanjang tahun dengan beberapa tuntutan kerja dan menyerahkan soal perkahwinan kepada Allah untuk menentukan segalanya.
Sumber: HMetro