Beberapa hari lalu, pelakon Fatin Afeefa telah selamat mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan yang dikenali sebagai Aliff Awang.
Dihujani dengan ucapan tahniah, bekas suami Fatin Afeefa iaitu Adam Shaz, yang juga seorang pelakon turut memberi maklum balas berhubung pernikahan bekas isterinya itu.
“Alhamdulillah atas pernikahan, cuma jangan lupa tarikh ‘naik’ mahkamah pada 26 Januari depan,” demikian menurut Adam Shaz yang kini lebih selesa memberi fokus kepada anak tunggalnya, Ivy Herra Sophia.
Jelas Adam lagi, beliau enggan mengulas apa-apa mengenai bekas isterinya itu memandangkan mereka sudahpun tiada apa-apa kaitan, sebaliknya bersedia untuk ke mahkamah bagi menuntut hak penjagaan anak selepas dua bulan tidak dapat berjumpanya.
“Saya enggan ulas apa-apa sebab kami tiada kaitan lagi, cuma apa pun saya sudah bersedia ke mahkamah bagi kes hak penjagaan Ivy selepas dua bulan tidak dapat berjumpanya.
“Saya bukan mahu berebut anak, hanya berharap jangan diputuskan silaturahim antara bapa dengan anak selain memberikan saya peluang bertemu Ivy.
“Ini pun baharu perbicaraan kali pertama. Jadi, kita buka buku baharu, tetapi yang pasti saya akan tetap berjuang. Biar apa pun, saya akur kepada keputusan mahkamah,” ulasnya Adam lagi kepada Kosmo! Online.
Adam turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang sengaja melemparkan tohmahan kepadanya.
Adam, atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani, 41, pernah mendirikan rumah tangga bersama Fatin Afeefa pada 21 Disember, sebelum mereka berpisah pada Mei 2017. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang puteri iaitu Ivy Herra Sophia, manakala perkahwinan Fatin Afeefa sebelum itu juga pernah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10.
Sumber: Kosmo! Online.