Pelakon, Ahirine Ahirudin akui berasa cemas dan takut apabila diekori dan dihendap seorang lelaki yang dikenali sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Ahirine, 27, beliau berkata lelaki yang dikenalinya itu sebagai hubungan kawan biasa tiga bulan lalu, telah mencetuskan satu perasaan lain hingga lelaki itu menjadi taksub dengan dirinya.
Akibat dari itu, individu berkenaan telah menghendap dan mengintip setiap gerak geri Ahirine, termasuk pernah beberapa kali muncul di lokasi beliau berada.
“Saya sudah mengenali dia tiga tahun lalu tetapi ‘kegiatan’ menghendap semakin membimbangkan sejak beberapa bulan lalu.
“Dia tahu alamat rumah saya malah pernah beberapa kali muncul di beberapa lokasi saya berada,” katanya.
Perkara itu telah membuatkan pelakon wanita ini berasa takut untuk keluar sendirian kerana sering berasa seperti diekori individu tersebut.
“Ya, takut juga nak keluar seorang diri sebab rasa ada mata-mata yang memerhati.
“Jadi, rasa tak selamat. Walaupun ada seni mempertahankan diri muay Thai pun tak cukup untuk melawan jika berlaku apa-apa,” katanya lagi.
Tak cukup dengan itu, lelaki itu katanya sering menggangu Ahirine di media sosial.
“Disebabkan dia, saya perlu berhati-hati untuk berkongsi apa sahaja dalam media sosial. Dia selalu ‘perasan’ saya kongsi sesuatu untuk dia sedangkan tidak.
“Kalau saya sekat akaun pun tiada guna sebab dia akan muncul dengan akaun yang baharu. Mungkin perlu tukar mod akaun Instagram kepada privasi selepas ini,” kata Ahirine lagi.
Sumber: Kosmo!