“Rasa Perit Sangat” - Abang Uyaina Berangkat Ke Negeri Abadi Seusia Arwah Bapa

“Rasa terlalu perit dan sakit untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya kehilangan seorang insan yang terlalu baik.”

“rasa perit sangat” - abang uyaina berangkat ke negeri abadi seusia arwah bapa

Demikianlah kata-kata pelakon dan pengacara popular, Uyaina Arshad mengenangkan pemergian abangnya yang pergi akibat serang jantung pada 19 Ogos lalu.

“Rasa tidak percaya dia sudah tiada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah baba (bapa) ketika meninggal dunia,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.

Menurut Uyaina, dia berasa terkilan kerana hasrat arwah abangnya untuk meraikan hari jadi ibu mereka tidak kesampaian.

Tambahnya, dia menyifatkan arwah abangnya itu sebagai seorang insan yang terlalu baik yang sering menjadi contoh buat keluarganya.

“Orang baik selalu pergi dulu. Dia sangat baik, terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.

“Selepas arwah baba meninggal dunia, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi, dia sudah tunjukkan contoh yang baik untuk kami adik-beradik. Dia masuk asrama, kami semua pun nak masuk asrama.

“Dia berjaya dalam pelajaran, kami juga mahu berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti kepada ummi. Dia juga pemurah dan penyayang.

“Abangku Uzair, semoga syurga menantimu. Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair Arshad. Doakan juga kesejahteraan dan kekuatan buat isteri dan anak-anaknya,” katanya.


Sumber: Utusan

ARTIKEL BERKAITAN