Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 46, berkongsi yang dia sukar untuk meletakkan kepercayaan pada mana-mana individu yang ingin mendekati anaknya.
Menurut Aaron, tindakannya itu bukan bertujuan untuk mengongkong kehidupan anak-anak.
Dia sebaliknya, punya sebab tersendiri berbuat sedemikian.
“Saya ini boleh dikatakan seorang bapa yang agak ‘protective’. Dulu, selalu juga ‘stalk’ (intai) mesej yang dihantar di media sosial anak saya, Dahlia Arissa untuk tahu dengan siapa dia berkomunikasi.
“Bukan tidak percaya, tetapi saya tidak boleh senang-senang meletakkan kepercayaan kepada sesiapa sahaja yang cuba berkawan dengan anak perempuan saya,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Bagaimanapun, dia akui yang media sosial tidak sepenuhnya memberikan kes negatif terhadap para pengguna.
“Saya sedar kita semua kena berhati-hati, pada masa sama, saya bersetuju media sosial ada manfaatnya.
“Saya selalu ajar anak-anak untuk menggunakan media sosial secara positif. Kalau kita ambil media sosial sebagai sesuatu yang positif, maka positiflah ia.
“Kalau ambil dari sudut yang negatif, maka semuanya akan jadi negatif. Saya rasa, pada era ini, kita sebagai ibu bapa kena didik anak-anak dan percayakan mereka. Tetapi, bab ini pun saya masih belajar,” ujarnya.
Sumber: Kosmo