8 Tahun Tempuh Liku Perjalanan Bersama, Remy Ishak Akhirnya Putuskan Kahwin Bersama Wanita Pilihan

Pelakon Remy Ishak mengesahkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang di usia 39 tahun bersama pasangan pilihan, Ezza Yusof pada 21 Ogos 2021 ini.

8 tahun tempuh liku perjalanan bersama, remy ishak akhirnya putuskan kahwin bersama wanita pilihan

Terdahulu, pelakon tersebut pernah mengikat tali pertunangan bersama gerangan wanita yang berusia 38 tahun itu pada 2017.

Bagaimanapun, hubungan pasangan tersebut kemudian terhenti seketika di pertengahan jalan apabila mereka mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan tersebut pada 2019.

“Lapan tahun yang agak panjang, pelbagai liku. Kami sambung sebagai kawan, teruskan hubungan. Pernah jadi tunangan, putus pertengahan jalan, kemudian Alhamdulillah, orang kata kalau dah jodoh, tak ke mana.

“Saya memutuskan untuk hidup bersama dia. Akhirnya. She’s the one,” kata Remy menerusi sidang media yang diadakan pada awal pagi Jumaat tadi.

Kongsinya lagi, perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama Ezza sebenarnya sudah diaturkan sejak tahun lalu lagi, namun kerap kali terpaksa ditangguhkan gara-gara situasi pandemik yang melanda.

“Sebenarnya, pernikahan ini telah dirancang lebih awal, dari 2020 lagi. Tapi disebabkan pandemik, saya rasa ada baiknya kami tangguhkan sehingga 2021.

“Awalnya, saya rancang nak buat pada 11 April 2021, waktu hari jadi saya. Namun kes semakin meningkat. Tak boleh teruskan sebab kena respect banyak pihak, keluarga, masyarakat di luar, diri saya serta pasangan.

“Kami kemudian putuskan untuk buat pada bulan Syawal. Saya ingatkan semua akan reda. Tapi masih tak boleh,” kata Remy.

“Akhirnya kami pilih 21 Ogos ini untuk nikah di pejabat. Tapi Alhamdulillah, dapat berita daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengatakan dah boleh nikah di masjid. Jadi, akhirnya,” tambahnya lagi.

Berbicara mengenai kisah cintanya bersama Ezza yang memakan masa selama lapan tahun sehingga kedua-dua mereka akhirnya memutuskan untuk menamatkan zaman bujang masing-masing bersama, akui Remy, perjalanan mereka untuk saling mengenali hati budi antara satu sama lain itu sebenarnya tidaklah mudah dan sering dihadapkan dengan berbagai kesukaran.

Namun, ciri yang membuatkan Remy kekal tertarik padanya adalah sifat Ezza yang melayaninya seperti manusia lain biarpun dirinya bergelar public figure.

“Lapan tahun perjalanan saya bersama Ezza, saya selalu cakap pada diri sendiri yang saya perlukan seseorang yang memahami saya. Bukan hanya mengenali saya sebagai Remy Ishak tetapi juga sebagai Mohammad Zalimei bin Ishak.”

Tambahnya lagi, dia mengaku pernah cuba untuk membuka hatinya pada wanita lain selepas hubungan mereka terputus di pertengahan jalan kira-kira dua tahun lalu. Namun, dirinya tetap memutuskan untuk bersama dengan Ezza pada akhirnya.

“Sakit, jatuh, bangun saya, saya rasa manusia yang akan sentiasa mengenali saya ialah Ezza,” luahnya.

Mengimbas kembali mengenai cerita putus tunang mereka, akui Remy, dia melihat perkara yang terjadi itu sebagai satu ‘fasa pembelajaran’ yang menjadi sebahagian daripada titik perjalanan mereka.

“Semua orang akan lalui proses pembelajaran dalam hidup. Walaupun sebelum ini, ada berita yang tidak baik mengenai dia. Tapi saya rasa semua orang akan melalui satu fasa dalam pembelajaran.

“Saya hormat dia sebab dia selalu ingin berubah menjadi lebih baik. Bukan untuk saya, tetapi untuk diri dia sendiri. Benda tu buat saya kagum pada Ezza.”

“Apa yang saya harapkan cuma doa dan kata-kata yang baik daripada peminat dan mereka yang melangkah bersama dengan saya dalam industri hiburan ini. Doa yang baik, sedikit sebanyak akan membantu perjalanan seseorang.

“Doakan saya agar hubungan ini kekal sehingga akhir hayat. InsyaAllah,” katanya.