50 lelaki yang berasal dari Teluk Intan, Perak bersumpah untuk menjadi bujang seumur hidup berikutan kos perkahwinan yang semakin tinggi.
Kumpulan yang dianggotai kira-kira 50 individu lelaki Cina yang kini berada dalam pertengahan umur mereka itu menggelarkan diri mereka sebagai ‘Persatuan Bujang Lama’ serta membuat perjanjian untuk kekal membujang seumur hidup.
Memetik laporan portal akhbar tempatan, mereka percaya kos perancangan majlis perkahwinan dan mas kahwin tidak berbaloi.
Demikian, memilih untuk kekal bujang bersama ahli-ahli yang berkongsi fikiran sama sebagai peneman.
Ahli tertua dalam persatuan tersebut berumur 79 tahun sementara yang paling muda berumur sekitar 40 tahun.
Mereka sering berkumpul di jeti tepi Sungai Perak di Teluk Intan, Perak yang mana mereka akan menghabiskan masa berbual sesama sendiri.
Menurut The Asean Post, purata kos perkahwinan di Malaysia dianggarkan antara RM50,000 hingga RM200,000 tidak termasuk perbelanjaan bulan madu, kira-kira 10 tahun lalu.
“Itu 10 tahun lalu, dan sekarang jika anda tidak mempunyai RM300,000, siapa yang mahu berkahwin dengan anda? Selain itu, bagaimana saya hendak menyimpan sehingga jumlah wang itu dengan pekerjaan biasa saya?”
“Sebab itu saya lebih baik membujang sehingga tua. Saya boleh melakukan apa sahaja yang saya mahu; untuk bertemu dan berbincang dengan rakan-rakan saya sehingga subuh dan tiada siapa yang akan menghalang saya,” kata salah seorang ahli persatuan tersebut yang dikenali sebagai Liong.
Seorang lagi ahli, Lee Tiong Lai, 79, mengakui pernah mempertimbangkan untuk berkahwin namun menggugurkan idea itu selepas menyedari kos perkahwinan terlalu tinggi.
Kongsinya, dia pernah mempunyai teman wanita tetapi keluarga wanita itu meminta kira-kira RM250,000 daripadanya sebagai mas kahwin.
"Saya hanya menanam sayur-sayuran untuk hidup, jadi bagaimana saya boleh mencari wang sebanyak itu?" katanya.
Sumber: Wau Post