Sebelum pandemik COVID-19, simptom seperti hidung berair, sesak nafas dan bersin mungkin dianggap sebagai penyakit biasa sahaja.
Tetapi kini sejak-sejak adanya wabak COVID-19, simptom-simptom ini dianggap sebagai membahaya dan boleh mendatangkan kerisauan sekiranya tidak dikesan atau dirawat dengan segera.
Pun begitu, masalah hidung berair, sesak nafas dan kerap bersin ini sering dikaitkan dengan demam selesema. Namun jangkitan virus, anemia, asma, paru-paru sempit, batuk berdarah, rhinitis dan pharyngitis juga boleh memberikan kesan yang serupa kepada individu berkenaan.
Ini bermaksud, jika seseorang itu mempunyai ketiga-tiga simptom ini, ia seharusnya dipandang serius dan memerlukan pemeriksaan selanjutnya.
Tambah pula, simptom-simptom itu juga sering disebut sebagai tanda jangkitan kepada wabak COVID-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), simptom-simptom terkena virus COVID-19 adalah seperti berikut:
- Demam (melebihi suhu 37.5 darjah celsius)
- Sakit kepala
- Sakit tekak
- Sesak nafas
- Hidung berair
- Kerap bersin
- Sering batuk
- Lenguh badan
- Sakit sendi
- Keletihan
Perlu diingatkan, ada juga pembawa virus yang tidak bergejala seperti diatas, membuatkan pengesanan mereka yang positif COVID-19 menjadi lebih sukar.
Justeru, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mendiagnos punca sebenar simptom berkenaan. Hanya ujian saringan yang boleh menentukan sama ada anda positif COVID-19, mahupun sebaliknya.
Sumber: Hello Doktor