Betul Ke Vitamin D Boleh Turunkan Risiko COVID-19?

Terdapat banyak kelebihan vitamin D terhadap badan manusia antaranya bagi memastikan tulang kita sihat dan kuat.

betul ke vitamin d boleh turunkan risiko covid-19?

Terdapat dakwaan yang menyatakan pengambilan vitamin D juga boleh mengurangkan risiko COVID-19. Namun sejauh manakah ia terbukti berkesan dalam usaha mengurangkan risiko wabak yang telah meragut jutaan nyawa di dunia ini?

 

Vitamin D secara amnya bertindak menggerakkan pelbagai lagi fungsi sel dalam badan. Dalam masa yang sama, sifat antiradang dan antioksidannya juga amat penting untuk menyokong sistem imunisasi badan.

 

Maka disebabkan itulah vitamin D dikatakan boleh menurunkan risiko jangkitan COVID-19.

 

Satu kajian telah dijalankan oleh University of Chicago Medicine, mendapati individu yang mempunyai kadar vitamin D yang mencukupi kurang berisiko untuk dijangkiti COVID-19.

 

Menurut Dr. David Meltzer, pengarang utama kajian ini, vitamin D amat penting dalam membantu fungsi sistem imun badan. Malah, sebelum ini juga suplemen vitamin D sudah terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan.

 

Kajian yang dimuatkan di dalam Journal of the National Medical Association ini melibatkan hampir 489 orang pesakit yang pernah merekodkan bacaan vitamin D di hospital mereka setahun sebelum wabak COVID-19 bermula.

 

Kajian berkenaan menunjukkan pesakit yang kurang vitamin D (<20ng/ml) mempunyai risiko 2 kali ganda untuk dijangkiti COVID-19 berbanding pesakit yang mempunyai vitamin D pada paras yang mencukupi.

 

Tambah lagi, penduduk di Amerika Syarikat juga kurang dalam pengambilan vitamin D yang membuatkan kumpulan ini juga didapati lebih terkesan dengan jangkitan COVID-19.

 

Kekurangan vitamin D juga sering terjadi dalam kalangan mereka yang berusia, menghidap obesiti dan mempunyai tekanan darah tinggi. Faktor ini juga meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk. Namun, jangan pula anda bergantung harap kepada vitamin D semata-mata untuk mengelakkan daripada jangkitan COVID-19.

 

Selain dapat menurunkan risiko COVID-19, vitamin D juga memberi kebaikkan lain sperti mengurangkan risiko kanser tertentu, mengurangkan risiko osteoporosis dan keretakan tulang, membantu merawat penyakit tulang turun-temurun yang berlaku disebabkan ketidakupayaan untuk menyerap atau memproses vitamin D, dan banyak lagi.

betul ke vitamin d boleh turunkan risiko covid-19?

Meskipun vitamin D selamat untuk diambil, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan hiperkalsemia, satu kondisi yang menyebabkan penggumpalan kalsium dalam darah, menyebabkan sakit tulang dan juga pembentukan batu karang.

 

Sebagai panduan, jumlah vitamin D yang perlu diambil oleh kanak-kanak ialah 400 IU, manakala untuk orang dewasa dan warga emas pula ialah 600 IU dan 800 IU. 

 

Dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil sebarang bentuk suplemen.

 

Sumber: Hello Doktor

ARTIKEL BERKAITAN