Youtube Lancar Dokumentari K-Pop 7 Episod

Seiring dengan fenomena K-Pop yang meledak di serata dunia, YouTube memainkan peranan yang cukup besar yang mana ia berfungsi sebagai salah satu platform yang menguatkan lagi letusan tersebut.

youtube lancar dokumentari k-pop 7 episod

Terbaru, YouTube mengeluarkan siri YouTube Originals berjudul K-Pop Evolution yang menganalisa fenomena tersebut yang kini mencapai era kegemilangan globalnya.

Dokumentari tersebut punya tujuh episod dan ditayangkan pada setiap Rabu jam 10 malam di YouTube.

K-Pop Evolution berkisarkan mengenai pertumbuhan industri K-Pop yang kini dianggarkan bernilai 10 bilion dolar.

Ia mengimbas kembali zaman kenaikan K-Pop, bermula dengan penubuhan kumpulan rap legenda Korea Selatan, Seo Taiji and Boys sekitar 1990-an hinggalah ia berjaya mencapai populariti global seperti mana yang dapat kita lihat pada hari ini.

Ramai idola daripada pelbagai generasi turut mengambil bahagian dalam temu ramah dokumentari tujuh episod itu antaranya termasuklah SuperM, HOT, BoA, Super Junior, Kara, Ha:tfelt, Kang Daniel, Sandara Park, Red Velvet, EXO, NCT.

Turut berkongsi pengalaman mereka bergelar bintang K-Pop ialah barisan artis dari Cube Entertainment seperti (G)I-dle, Pentagon dan kumpulan K-Pop popular yang baru sahaja melakukan debut dua tahun lalu, Everglow.

Menerusi treler dua minit mengenai dokumentari K-Pop Evolution itu, penonton dapat melihat sendiri evolusi muzik tersebut yang merangkumi peristiwa bersejarah dalam muzik K-Pop yang mana Wonder Girls menjadi antara kumpulan pertama dari Korea Selatan yang berjaya menembus pasaran muzik Amerika Syarikat pada 2008 dan semestinya, fenomena Gangnam Style yang dicetuskan Psy pada 2012 dan

Selain itu, dokumentari tersebut turut membincangkan beberapa isu sensitif misalnya stigma negatif yang sering dihadapkan terhadap golongan bintang K-Pop berkenaan hubungan percintaan mereka.

Turut dibincangkan ialah kesukaran mendapat peluang yang dihadapi kebanyakan kumpulan dalam industri muzik di Korea Selatan itu berserta segala yang terjadi di balik tabir, lagi-lagi ketika zaman latihan mereka ke arah bergelar bintang K-Pop.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah kali pertama bintang K-Pop menjadi tumpuan rancangan YouTube Originals.

Terdahulu, platform tersebut terlebih dahulu pernah mengeluarkan dokumentari K-Pop seperti BTS: Burn the Stage dan Twice: Seize the Light selain rancangan realiti yang melihat Big Bang dan Super Junior sebagai bintang utama.

Namun begitu, K-Pop Evolution merupakan rancangan pertama yang seumpamanya yang pernah dikeluarkan YouTube Originals yang merangkumi sejarah K-Pop bermula dari bawah hingga ia berjaya mencapai puncak kegemilangan di peringkat global.

Ia sekali gus membuatkan K-Pop Evolution sebuah dokumentari yang berbaloi untuk ditonton terutamanya buat mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap K-Pop.

 

Sumber: [1]