Kisah seorang wanita yang berkongsi mengenai gaji suaminya yang bekerja sebagai seorang guru bertukar menjadi viral apabila dimuat naik di Tik Tok.
Dalam video tersebut, wanita yang bernama Dini Fauzi Lestari itu mendedahkan jumlah gaji yang diterima suaminya setelah mengajar selama satu bulan.
Dia menunjukkan sejumlah wang yang diisi di dalam sampul surat kecil berwarna putih yang mana pecahan wang sebanyak 100,000 rupiah, 20,000 rupiah, 5,000 rupiah dan 2,000 rupiah jelas dapat dilihat.
Tulis Dini menerusi kapsyen di video itu, “Assalamualaikum hari ini suami saya pulang dari tempat kerja, setelah pulang dari mengajar. Dan dia memberi saya sampul surat. Mari kita hitung, satu, dua dan jumlahnya adalah 144,000 rupiah (RM41.73). Inilah hasil dia mengajar, selama satu bulan. Terima kasih Tuhan kerana mengajar erti rezeki.”
Video tersebut kemudian segera menjadi viral dan turut membuatkan sebilangan besar netizen berasa sedih. Setakat Khamis lalu, ia telah mencecah lebih 393,000 tontonan dengan 12,000 tanda suka dan 759 komen.
Kebanyakan netizen yang menonton video tersebut berasa terkejut dan sedih ketika mendapat tahu tentang gaji suami Dini, namun mereka tetap sahaja memberikan sokongan dan dorongan terhadap pasangan itu.
Pasangan tersebut dikatakan tinggal di Asahan, Sumatera Utara, Indonesia. Suami Dini, merupakan seorang guru yang berstatus kontrak di salah sebuah sekolah di situ.
Di waktu pagi dia akan mengajar di sekolah, namun di waktu petang pula, dia akan mengajar di madrasah.
Sumber: [1]