Mulia sungguh hati seorang wanita berusia 23 tahun ini yang sanggup menjadi ibu kepada 37 ‘anak’.
Wanita asal Malawi, Timur Afrika itu bernama Tusayiwe Mkhondya, dan merupakan pengasas organisasi amal, You Are Not Alone (YANA) yang memberikan ‘kehidupan baru’ kepada anak-anak yatim serta kanak-kanak jalanan dan ibu muda. Rata-ratanya, anak-anak yang ‘dibelanya’ itu berusia dari enam bulan hingga 16 tahun.
Menerusi TikTok miliknya, @tusaiweyana, beliau tampil berkongsi aktiviti hariannya sebagai seorang ibu hebat. Bermula pada jam 4 pagi, beliau akan bangun dan menyediakan tiga hidangan untuk semua kanak-kanak.
Namun, rutin hariannya menjaga kanak-kanak itu tidak terhenti begitu saja. Walaupun selepas jam 7 malam, Tusayiwe masih tidak boleh tidur kerana perlu sentiasa ‘bersiap siaga’ untuk memberi makan, menukar lampin atau menenangkan bayi yang menangis pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, Tusayiwe tidak keseorangan dalam melakukan kerja-kerja tersebut. Kerana terdapat kanak-kanak lebih besar yang akan membantunya melakukan kerja rumah.
Memetik laporan The Sun, Tusayiwe sendiri pernah melalui pengalaman bergelar ibu tunggal dan gelandangan ketika beliau berusia 18 tahun. Pengalaman itu kemudian mendorongnya untuk mendirikan YANA dengan harapan, beliau dapat mengajar kanak-kanak itu dengan pengetahuan asas, selain memperkasa diri dan kemahiran hidup demi masa depan mereka.
Rata-rata warga maya mengagumi usaha murni dan mulia Tusayiwe selepas melihat video TikTok miliknya itu.
“Anda yang kuat, moga terus diberi kekuatan menjadi seorang ibu tetapi hanya satu boleh dikatakan, full of respect!” kata seorang wargamaya.
Sumber: [1]