Umur Sekadar Angka, Atuk Berusia 93 Tahun 'Power' Main Game Lumba Di Komputer!

Umur hanyalah sekadar angka dan datuk ini merupakan bukti kukuh mengenainya.

Seorang datuk berusia 93 tahun yang berasal dari Jepun menarik perhatian orang ramai apabila video yang memperlihatkan dirinya bermain permainan sim lumba di di depan layar komputernya tular di media sosial.

Video tersebut pertama kali dimuat naik di YouTube oleh cucunya yang mana ia segera tular di sekitar media sosial sejak dari itu.

Dalam video terbabit, datuk tersebut dilihat begitu ligat dalam memegang cengkaman stereng berserta pergerakannya yang seolah-olah seorang profesional. Semua itu adalah berikutan dirinya yang pernah memandu beberapa model kereta Jepun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini selain berkat pengalamannya sebagai seorang pemandu teksi.

Ketika permainan pertama dalam perlumbaannya, cucunya itu telah memilih model Mazda Savanna RX7, kereta yang pernah dimilikinya pada 1990-an. Biarpun terdapat perbezaan yang ketara antara pemanduan fizikal dan maya, namun nampaknya, datuk tersebut tetap mahir dalam mengendalikan pemanduan itu! Lebih menarik perhatian, datuk itu juga dilaporkan sedang bereksperimen dengan menggunakan lebih banyak model kereta sukan.

Menurut laporan Kotaku, datuk itu pernah bekerja sebagai pemandu teksi di Tokyo sekitar 1960-an. Sebelum itu, dia turut pernah mengambil pengalaman dalam menjadi pemandu lori sampah selama hampir dua puluh tahun.

Setelah mendapat tahu mengenai bekas pekerjaan datuknya itu, cucunya muncul dengan idea untuk membiarkannya bermain di hadapan komputer yang mana idea tersebut tidak disangkal lagi, berjaya menghubungkan antara unsur nostalgia dengan hobinya. Tidak ketinggalan, cucunya itu turut membeli monitor skrin rata besar khusus buat datuknya agar dia lebih seronok bermain.

Dalam pada itu, mereka yang menonton video datuk itu di YouTube turut meninggalkan komen yang memintanya untuk cuba memandu lebih banyak kereta kerana terhibur melihatnya yang seakan-akan seronok bermain permainan tersebut. Beberapa syarikat juga dikatakan telah berjanji untuk menghantar bantal leher dan produk lain untuk datuk tersebut agar dia lebih selesa ketika bermain permainan lumba maya itu.

Sejak dimuat naik pada 30 Januari, video tersebut telah ditonton lebih 500,000 di YouTube. Namun baru-baru ini, ia muncul di platform media sosial yang berbeza sekali gus meraih lebih banyak perhatian daripada komuniti warganet.

 

Sumber: [1]