Kerana terinspirasi oleh anggota BTS iaitu Jin, seorang penyanyi muda kelahiran Indonesia, Reza Darmawangsa mengambil langkah untuk menerbitkan buku pertamanya, diilhamkan daripada bintang K-Pop global tersebut.
Berjudul Epiphany, sempena lagu solo yang dinyanyikan oleh Jin BTS, buku tersebut dijangka bakal dilancarkan buat bacaan orang ramai menjelang Disember tahun ini.
Buat mereka yang masih baru dengan nama Reza Darwangsa, pemuda yang berusia 23 tahun itu terutamanya popular dalam kalangan peminat K-Pop menerusi kandungan nyanyian semula lagu-lagu K-Pop yang dimuat naik di YouTube dan Instagram, selain penyertaannya dalam pertandingan Rising Star Indonesia 2019.
Menurut Reza ketika ditemu ramah media tempatan, buku tersebut bakal menjadi perantaraan buat tiga buah lagunya yang berjudul “Want Me Too”, “I’m in Love” dan satu lagu rahsia yang diselitkan di dalam novel terbabit.
Tambahnya lagi, novel tersebut akan mengajak pembaca untuk mengenang kembali detik-detik mendebarkan ketika mereka jatuh cinta, terluka, hilang dan akhirnya menemui keupayaan untuk mencintai diri sendiri.
Memadai sahajalah novel tersebut mempunyai kaitan dengan cinta terhadap diri sendiri memandangkan Jin juga merupakan salah seorang anggota BTS yang cukup aktif dalam menyuarakan mesej berkaitan mencintai diri sendiri.
Sumber: [1]