Kumpulan K-Pop masyhur, BTS membuat kemunculan dalam rancangan temu bual You Quiz on the Block yang diwawancarakan pengacara terkenal, Yoo Jae Suk pada 24 Mac lalu.
Menerusi rancangan tersebut, salah seorang anggota kumpulan tersebut, Suga membuka cerita mengenai dirinya yang berasa tertekan setelah mereka berjaya menembus pasaran Amerika Syarikat.
“Apabila sesuatu yang tidak pernah anda harapkan menjadi kenyataan, datangnya bermacam-macam tekanan besar,” ujarnya.
“Karier sebagai ‘idol’ sukar untuk bertahan lama, jadi saya pernah terfikir yang saya akan berhenti menjadi seorang ‘idol’ setelah mencapai perkara seperti meraih kemenangan dalam program muzik dan mengadakan konsert solo.
“Setelah karier saya sebagai seorang penyanyi berakhir, saya fikir saya akan bergelar produser.
“Tetapi, dengan tiba-tibanya kami pergi ke Amerika. Saya tidak pernah terbayangkan bahawa kami akan sampai ke Billboard Music Awards.”
Lanjut Suga lagi, “Kami pergi ke pelbagai pertunjukan anugerah di Amerika dan saya berasa sangat takut. Tiada seorang pun artis senior yang kami boleh bertanya mengenai apa yang harus dilakukan.
“Saya paling gementar ketika melakukan persembahan pertama kami di Amerika Syarikat. Saya pulang ke hotel dan menangis kerana itu bukan sesuatu yang saya mahukan, saya tidak pernah terbayangkan diri akan berada dalam keadaan yang bertekanan tinggi sebegitu.
“Saya benar-benar takut kerana saya tahu ini baru permulaan. Sudah tentu ia adalah satu penghormatan dan kami bersyukur, tetapi saya tertanya-tanya apakah ini tempat yang tepat untuk kami dan jika kami benar-benar ingin sampai sejauh ini.”
Sumber: [1]