Ryan Reynolds Kongsi Pernah Gerak 'Double Date' Dengan Isteri, Tapi Bersama Pasangan Berasingan!

Bermula sebagai kawan yang pernah menghadiri ‘double date’ bersama pasangan yang berasingan, siapa nak sangka yang pasangan selebriti Hollywood ini, Ryan Reynolds dan Blake Lively akhirnya memilih untuk menamatkan zaman bujang masing-masing sebagai suami isteri.

ryan reynolds pernah gerak 'double date' dengan isteri, tapi dengan pasangan berasingan!

Bintang Deadpool, Ryan Reynolds berkongsi cerita mengenai bagaimana dia dan isteri, Blake Lively pertama kali berkenalan antara satu sama lain hingga mereka akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Kongsi Reynolds, dia pertama kali bertemu dengan isterinya, ketika mereka membintangi filem Green Lantern yang ditayangkan pada 2011.

“Dan kami berkawan dan bersahabat dan kemudian, kira-kira satu setengah tahun kemudian, kami pernah pergi ‘double date’ sebanyak dua kali, namun kami bersama dengan pasangan yang berasingan pada ketika itu,” ujar Reynolds.

Menurut Reynolds, ketika mereka mula menjalani penggambaran untuk Green Lantern, iaitu sekitar awal 2010, Reynolds masih lagi bersama pelakon Scarlett Johansson, yang dikahwininya sejak 2008. Sementara Lively pula ketika itu sedang rancak menjalin hubungan cinta dengan teraju bersama Gossip Girl, iaitu Penn Badgley.

Bagaimanapun, hubungan cinta kedua-dua pelakon itu, baik Reynolds dan Johansson, tamat pada 2010.

Sejak membujang, kedua-dua mereka bertemu dalam ‘double date’, namun ironinya, ketika itu masing-masing sedang dalam proses mengenali orang lain.

“Kami melepak dan sebagainya, kami sering berhubung tetapi dengan santai. Dan perkara seterusnya yang anda tahu, dia perlu berangkat ke Boston. Begitu juga dengan saya. Jadi saya seperti, ‘Saya akan pergi bersama awak’,” kata Reynolds, yang mana kedua-dua mereka kemudian menaiki kereta api bersama-sama dalam perjalanan menuju ke Boston.

Lanjut Reynolds lagi, dia menjadi yang pertama untuk menjentik hati Lively, yang mana akuinya, percintaan tersebut sebenarnya bergerak dengan pantas.

“Setelah seminggu kemudian, saya seperti, ‘kita harus membeli rumah bersama’, dan kami benar-benar melakukannya.”

Siapa sangka, hubungan pasangan bahagia itu kini hampir mencecah sedekad yang mana kedua-dua mereka sudah pun bergelar ibu bapa kepada tiga cahaya mata perempuan.

Tambah Reynolds, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri seperti Lively yang memahami dan seakannya seperti seorang sahabat baik yang berada di sisinya.

“Saya dan Blake tidak melakukan filem pada masa yang sama, jadi ketika dia sudah bersedia untuk kembali melakukannya, saya akan berundur diri dan kami saling bertolak ansur. Ketika dia menjalani penggambaran filem, saya akan menemaninya di lokasi dan berada bersama anak-anak.”

 

Sumber: [1]