Remaja Dilahirkan Di ‘Coffeehouse’ Bersatu Dengan Barista Yang Membantu Ibunya Melahirkannya

Seorang lelaki yang juga merupakan bekas pekerja salah satu francais kopi terkenal menemui dirinya dalam satu pertemuan yang tidak disangka-sangka dengan seorang pemuda yang berusia 18 tahun.

remaja dilahirkan di ‘coffeehouse’ bersatu dengan barista yang membantu ibunya melahirkannya

Segala-galanya bermula apabila lelaki yang bernama Griffin Baron itu pernah menolong ibu kepada pemuda tersebut untuk melahirkannya di kedai kopi tempatnya bekerja hampir dua dekad lalu.

Menurut laman The Record North Shore, kejadian tersebut berlaku pada 2002 yang mana Baron yang sedang ralik bekerja di Starbucks terdengar jeritan seorang wanita, Lisabeth Rohlck, dari bilik air kedai kopi tersebut.

Seorang pelanggan yang berada di situ kemudiannya memeriksa keadaan tersebut lantas memberitahu Baron untuk menghubungi talian kecemasan kerana wanita tersebut berada dalam detik cemas, untuk melahirkan anak.

Imbau Baron, “Saya mendengar jeritan bernada tinggi menembusi dinding dan menyangka seseorang telah mengurung diri mereka di dalam bilik air.”

Baron dan pelanggan tadi, Tricia Monico kemudiannya cuba memberikan sehabis mungkin mereka untuk membuatkan wanita tersebut berasa selesa sementara menunggu pertolongan tiba, hinggalah beberapa minit kemudian mereka menyambut seorang bayi lelaki yang bernama Jonathan Celner.

Mereka kemudiannya disambut dengan tepukan daripada pelanggan lain yang berada di sekitar pusat beli-belah tersebut pada waktu itu.

Cerita tersebut turut menjadi coretan dalam surat khabar tempatan.

Tapi tidak sangka pula, setelah hampir dua dekad berlalu, takdir akhirnya membawa Baron dan bayi lelaki yang kini berusia 18 tahun itu bertemu kembali buat pertama kalinya di kedai kopi yang sama kejadian tersebut berlaku.

Semuanya terjadi apabila Baron terdetik hati untuk mencari nama Rohlck dalam talian yang mana dia dibawa ke satu laman crowdfunding dan mendapati nama wanita terbabit dikaitkan dengan pengumpulan dana akibat pemergian suaminya.

Dari situ, Baron menemukan Celner di Facebook yang mana dia kemudiannya menghantar mesej untuk mengesahkan sekiranya dia merupakan anak lelaki Rohlck.

Namun, balasan daripada Celner hanya diterima beberapa minggu kemudian.

Celner mengiyakan pertanyaan Baron sekali gus membuatkannya berasa terkejut.

“Ini adalah perkara yang sangat besar bagi saya dan saya selalu ingin tahu apa yang berlaku kepadanya dan keluarga, dan bagaimanakah dia sekarang, dan saya ingin memberikan perspektif saya pada hari itu.

“Ia sememangnya merupakan suatu saat yang membuat saya tersenyum lebar ketika kami bertemu. Dia seorang anak yang sangat baik,” ujar Baron ketika bercerita mengenai pertemuannya dengan Celner.

 

Sumber: [1]