Pemuda Viral ‘Menjelma’ Sebagai Aladdin

Sering sahaja, di bulan-bulan mulia seperti Ramadan dan Aidilfitri ini, ramai yang menggunakan kesempatan yang ada untuk mencipta pelbagai momen baru yang dapat menjentik rasa bahagia.

pemuda viral ‘menjelma’ sebagai aladdin

Salah satunya, termasuklah dengan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Setiap orang punya cara mereka yang tersendiri dalam berbagi-bagi, dan ini yang terjadi di Bandung, Indonesia, apabila seorang pemuda berpakaian persis karakter Aladdin sambil melakukan kebajikan di tepian jalan.

Dilihat mengenakan pakaian serba putih sambil memakai topi dan serban, gerangan pemuda yang berpakaian seperti Aladdin ini segera menjadi tumpuan orang ramai kerana dirinya yang kelihatan seolah-olah sedang terbang di atas permaidani ajaib.

Biarpun ia bukan penerbangan sebenar dan hanya menggunakan papan selaju, namun tetap sahaja ‘jelmaannya’ sebagai salah satu karakter Disney itu dipuji orang ramai.

Manakan tidak, pemuda tersebut yang dikenal pasti sebagai Fadli Maulana itu menghiburkan orang ramai dengan persembahannya, selain turut menjalankan misi mulia dalam mengedarkan bungkusan yang mengandungi barang-barang keperluan asas di sekitar jalan Bandung.

Lebih menarik, hadiah-hadiah yang diedarkan oleh Fadli itu tidak sahaja mengandungi keperluan asas, namun juga barang-barang keperluan ibadah seperti telekung, sarung dan pakaian baru sempena menyambut Hari Raya.

“Ada barang runcit, telekung, sarung, pakaian untuk orang di jalanan yang memerlukan. Ayuh. Mari kita pergi!” Katanya bersemangat.

 

Sumber: [1]