Tuah berpihak pada Anna Suengam-iam, 23, yang dinobatkan sebagai Miss Universe Thailand terbaru.
Memetik Thai PBS World, biarpun selepas kejayaan itu, Anna bagaimanapun tanpa segan silu memberitahu media Thai bahawa kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai pemungut sampah dan kebanyakan mainannya semasa zaman kanak-kanak dikutip daripada sampah serta dibaiki oleh ibu bapanya.
Kongsinya, dia tidak berpeluang bermain seperti kanak-kanak lain, kerana ibu bapanya biasanya keluar rumah pada jam 3 pagi untuk bekerja dan pulang ke rumah pada jam 7 malam untuk tidur.
Demikian, satu-satunya masa dia berpeluang keluar dari rumah adalah ketika menaiki lori sampah bersama bapanya.
Dia kemudian menjadi anak angkat neneknya, kerana ibu bapanya tidak mempunyai masa untuk menjaganya, dan dibesarkan dengan makanan yang disedekahkan kepada sami oleh orang ramai.
Anna berkata dia ingin kisahnya menjadi inspirasi kepada mereka yang bukan berasal dari keluarga senang, bahawa mereka juga berpeluang mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak sepatutnya kehilangan harapan, tetapi berani bermimpi dan berusaha untuk memenuhi impian itu seperti yang dilakukannya.
Dia turut menekankan keperluan untuk belajar bersungguh-sungguh. Anna merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian kelas pertama dari Fakulti Seni Liberal dan Sains, Universiti Kasertart.
Sumber: Thai PBS World