Menyentuh Hati, Bayi Berusia 2 Tahun Setia Menemani Ayah Tatkala Bekerja

Ada kalanya kita terlupa mengenai kegembiraan yang dirasai kanak-kanak, ia ringkas, namun cukup sahaja untuk menggerakkan hati seseorang manusia dewasa agar lebih bersyukur terhadap kegembiraan yang mungkin terlihat kecil dalam kehidupan seharian.

menyentuh hati, bayi berusia 2 tahun setia menemani ayah tatkala bekerja

Begitu juga dengan seorang kanak-kanak berusia dua tahun ini, yang mana, baru-baru ini tular video menyentuh hati yang memperlihatkan ia menemani bapanya untuk bekerja sebagai penghantar makanan biarpun dengan menggunakan kenderaan pacuan dua roda.

Dalam klip tersebut, Li Fei’er yang masih kecil dan naif untuk memahami mengenai kesusahan dunia, dilihat duduk bersahaja di dalam sebuah kotak kecil yang diletakkan di atas motor milik ayahnya itu sambil menemani pemuda tersebut menjalankan tugas hariannya demi mencari sesuap rezeki.

Menurut South China Morning Post, anak kecil itu sudah mula menjadi peneman ayahnya tatkala bekerja sejak dia berusia enam bulan.

Ketika ia masih kecil, Fei’er akan diletakkan di dalam sebuah kotak penghantaran sambil membonceng ayahnya itu.

Biarpun begitu, ia dikatakan sentiasa berkelakuan baik dan sentiasa sahaja tersenyum sepanjang menemani ayahnya itu bekerja. Lantaran itu, sifatnya yang comel itu membuatkan ayahnya bersemangat untuk terus mencari rezeki buat keluarga kecil mereka.

 

 

“Hai semua, saya adalah kurier yang membuat penghantaran bersama anaknya. Kerana pelbagai sebab, saya mula membawa Fei’er bersama saya untuk bekerja sejak Mei 2019. Ia tidak mudah dan kami telah melalui pelbagai saat yang sukar namun kami juga mengukir kenangan yang menggembirakan,” ujar ayah Li dalam klip viral tersebut.

Li dan isterinya, yang bekerja di pasar basah, membahagikan pekerjaan dan menjaga anak perempuan mereka secara bergilir-gilir.

Pada waktu pagi, gadis kecil itu akan dibawa bersama ayahnya, manakala pada waktu petang pula, dia dengan senang hatinya menghabiskan masa dengan sang ibu.

Biarpun pasangan tersebut akui berasa serba salah atas kesusahan yang terpaksa dilalui anak, namun Li menambah bahawa mereka tidak mempunyai pilihan.

Menurut video yang dikongsi oleh SCMP itu, keluarga kecil itu tinggal di dalam sebuah bilik bujang yang disewa, yang mempunyai keluasan lebih kecil dari 107 kaki persegi.

 

Sumber: [1]