Lelaki Warga Emas Sanggup Jual Rumah & Tidur Di Beca Demi Biayai Persekolahan Cucunya

Sering kali, kasih sayang terhadap ahli keluarga mampu membuatkan seseorang itu bertindak di luar jangkaan asalkan dapat membahagiakan manusia yang disayangi.

lelaki warga emas sanggup jual rumah & tidur di beca demi biayai persekolahan cucunya

Begitulah yang terjadi pada seorang lelaki warga emas di India yang sanggup menjual rumahnya dan tidur di beca, semuanya demi merealisasikan impian cucunya yang ingin bergelar seorang guru.

Segala-galanya bermula apabila lelaki warga emas yang dikenali sebagai Desraj Jyot Singh itu kematian anaknya beberapa tahun yang lalu.

“Sebahagian daripada saya pergi bersamanya. Namun, saya tidak sempat bersedih kerana saya dibebani tanggungjawab. Keesokan harinya, saya kembali menarik (beca) seperti biasa,” ujar Desraj.

Desraj sedar, sejak pemergian anaknya itu, dia harus bertahan demi tanggungjawab terhadap isteri, menantu dan cucunya.

Ketika pengebumian anaknya itu, cucunya pernah bertanya kepadanya sekiranya dia harus berhenti sekolah. Soalan tersebut kemudian membuat hati Desraj tersentuh.

“Saya mengumpulkan keberanian saya untuk meyakinkannya. ‘Tidak pernah! Belajar sebanyak mana yang anda mahukan’,” katanya.

Dan kerana itu, dia sanggup berjuang untuk menarik penumpang sejak awal pagi dengan mula bekerja seawal 6 pagi hingga waktu tengah malam mula menjengah.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan satu-satunya cara agar dia dapat menjana wang untuk menghantar cucu-cucunya ke sekolah dan membeli makanan kepada keluarganya yang terdiri daripada tujuh orang ahli keluarga.

Berkat usaha dan pengorbanannya itu, cucunya berjaya memperoleh markah yang tinggi di sekolah. Malahan, Desraj juga ada kalanya akan memberikan tumpangan percuma kepada pelanggan becanya sebagai meraikan pencapaian cucunya itu.

Namun impian cucunya itu tidak terhenti di situ, yang mana dia menyatakan hasrat untuk menyambung kuliah di ibu kota, New Delhi demi mengejar cita-cita sebagai seorang guru.

Tentunya, perkara tersebut sekali lagi menjadi cabaran buat Desraj kerana keadaan ekonominya.

Kerana tidak ingin mematahkan impian cucu kesayangannya, Desraj memberanikan diri untuk menjual rumahnya.

Kesemua ahli keluarganya yang lain iaitu isteri, menantu dan cucu-cucu lain difahamkan berpindah untuk menetap di rumah saudara mereka sementara Desraj pula kekal di Mumbai dan tidur berbumbungkan becanya sendiri.

“Saya makan dan tidur di beca dan pada waktu siang saya membawa penumpang. Kadang-kadang kaki saya sakit kerana duduk terlalu lama. Tetapi kemudian cucu saya menelefon dan memberitahu bahawa dia berada di kelas pertama. Buat seketika, rasa sakit itu hilang,” luahnya.

Tambahnya lagi, dia tidak sabar untuk melihat cucunya menjadi seorang guru yang berjaya dan berhasrat untuk memeluknya apabila dia berjaya mencapai kejayaan tersebut suatu hari nanti.

Kisah Desraj menjadi viral di media sosial yang mana dia kemudian memperoleh dana agar dapat meneruskan kelangsungan hidupnya dalam keadaan yang selesa. Difahamkan bahawa Desraj kini kembali memiliki rumah yang membolehkannya tidur dengan selesa di samping terus menyara cucu-cucunya yang menjalani kuliah.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN