Kisah cinta pelakon Korea, Lee Ji Hoon tidak kurang seperti dalam kebanyakan drama Korea, yang mana, teraju lelaki utama yang sering kali digambarkan sebagai seorang yang popular ada kalanya jatuh cinta pada gadis kebanyakan atau peminatnya sendiri.
Lee Ji Hoon yang menempa populariti menerusi drama You Are My Destiny bersama Yoona Girls’ Generation pada 2008, menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini bersama isteri Miura Ayane yang mana mereka telah mendaftarkan perkahwinan bersama dan bakal mengadakan resepsi pada Oktober 2021.
Semuanya bermula apabila pasangannya, Ayane terjebak dengan K-Drama kerana ibunya, yang juga merupakan peminat Lee Ji Hoon.
Dari situ, Ayane mula menonton banyak K-Drama bersama ibunya, dan kemudian tertarik pada Lee Ji Hoon yang kemudian menyebabkan dia berminat untuk belajar bahasa Korea.
Dia kemudian menghadiri kuliah di Korea Selatan dan bekerja di sana sebagai penterjemah.
Sepanjang menjalani kuliah, Ayane gemar menonton muzikal. Kebetulan pula, Lee Ji Hoon pula pada ketika itu aktif sebagai seorang pelakon muzikal, lagi membuatkan Ayane untuk menghadiri pertunjukannya secara konsisten.
Hendak dibuat cerita, salah seorang kenalan Ayane turut mengenai Lee Ji Hoon yang mana dia memperkenalkan pasangan tersebut antara satu sama lain selepas satu pertunjukan muzikal yang dihadirinya. Mereka kemudian menghadiri ‘after-party’ bersama yang lain dan di situlah Ayane mula berkenalan dengan Lee Ji Hoon secara peribadi dan saling bertukar nombor telefon.
Suatu hari, Ayane berniat untuk menemui Lee Ji Hoon bagi mengucapkan terima kasih kerana telah mengubah hidupnya. Menurut Ayane, sekiranya dia tidak menjadi peminat Lee Ji Hoon, dia mungkin tidak akan pernah belajar Bahasa Korea dan berhijrah ke negara itu.
Tetapi malangnya, dia kehilangan telefonnya pada hari mereka berjanji untuk berjumpa seterusnya menyebabkan dia tidak dapat dihubungi Lee Ji Hoon. Bagaimanapun, Ayane tetap tidak berputus asa dan meminta untuk keluar bersama bagi kali kedua.
Namun, pertemuan kedua juga tidak terjadi kerana dia mengalami selesema dan sakit perut pada hari terbabit. Kali terakhir mereka bersepakat untuk bertemu, terdapat kes COVID-19 yang dilaporkan berlaku di tempat mereka ingin berjumpa, lantas menyebabkan mereka terpaksa membatalkan pertemuan tersebut.
Ayane kemudian buat kali terakhirnya, memberanikan diri untuk meminta bertemu dengan Lee Ji Hoon. Kongsi Lee Ji Hoon, dia akui berasa takut untuk bertemu dengan Ayane kerana tidak tahu niat sebenar di sebalik pertemuan mereka.
Sekiranya Ayane memberitahunya sejak awal lagi bahawa dia benar-benar ingin berterima kasih kepadanya kerana mengubah hidup dia, pastinya dia akan segera bertemu dengan wanita tersebut. Bagaimanapun, oleh kerana sifat Ayane yang gigih, menyebabkan dia memutuskan jua untuk memberi peluang kepada wanita tersebut, yang mana dia kemudian jatuh cinta padanya pada hari mereka akhirnya bertemu.
Siapa sangka, setahun kemudian, pasangan ini mengikat tali perkahwinan antara satu sama lain. Ternyata, usaha Ayane tidak sia-sia.
Sumber: [1]