Sekiranya korang merupakan salah seorang peminat tegar anime, besar kemungkinan korang kenal akan Studio Ghibli yang cukup popular dengan lambakan filem animasinya yang best-best!
Antara filem animasi hasil cetusan mereka yang masih lagi terngiang-ngiang di dalam kotak memori ramai peminat termasuklah Spirited Away, My Neighbor Totoro, Howl’s Moving Castle, Princess Mononoke dan banyak lagi!
Tidak hanya tertakluk pada jalan-jalan ceritanya yang menarik, Studio Ghibli juga malahan terkenal dengan pelbagai adegan yang memaparkan makanan sedap di dalam filem animasinya sehingga membuatkan orang ramai yang menonton berasa terliur, seolah-olah mereka turut berada di dalam dunia animasi tersebut!
Menerusi satu sesi tanya-menanya yang diadakan di Twitter, pasukan Studio Ghibli sempat menjawab satu soalan berkenaan adegan-adegan makanan mereka yang sering kali menarik perhatian ramai kerana terlihat begitu enak dan ‘real’.
Kongsi Toshio Suzuki selalu penerbit di studio terbabit, terdapat satu teknik yang diamalkan pasukan juruanimasi mereka setiap kali sebelum mereka bertindak menganimasikan sesuatu adegan makanan itu.
Terangnya, mereka terlebih dahulu akan melakukan penyelidikan dengan penerangan berkenaan sesuatu makanan yang kemudian bakal dianimasikan.
Tambahnya lagi, hampir kesemua makanan yang terdapat dalam filem-filem animasi mereka adalah berdasarkan makanan sebenar yang pernah dirasakan pasukan mereka dan kebanyakan daripada makanan tersebut, dimasak sendiri oleh Hayao Miyazaki yang merupakan pengasas dan figura kreatif utama di Studio Ghibli.
Difahamkan bahawa Miyazaki yang memiliki kehebatan dalam animasi turut mempunyai minat mendalam terhadap memasak selain gemar meluangkan masa lebihnya di pejabat. Antara makanan yang sering dimasaknya termasuklah ramen.
“Semua makanan yang muncul dalam animasi kami pernah dimasak oleh Hayao Miyazaki dan kami mencubanya,” jelas Suzuki.
Tidak ketinggalan, Suzuki turut mengakui keenakan makanan yang dimasak Miyazaki yang benar-benar mengagumkan. Oleh kerana mereka mengambil inspirasi daripada pengalaman merasai makanan sendiri, justeru itu, ia sekali gus memudahkan lagi pasukan di studio terbabit untuk melakarkan kreativiti mereka berkenaan adegan makanan di dalam filem-filem animasi mereka.
Antara adegan makanan yang cukup segar dalam ingat para peminat filem-filem animasi hasil cetusan Studio Ghibli termasuklah bento yang dipaparkan dalam My Neighbor Totoro, telur goreng dalam Howl’s Movign Castle dan gerai ramen di Ponyo.
Terdahulu, Studio Ghibli pernah menganjurkan Muzium Ghibli pada 2017, yang mana mereka turut mengadakan satu pameran khas yang memperlihatkan pelbagai jenis makanan yang pernah muncul dalam filem mereka.
“Makanan yang kelihatan masih hangat, asapnya menguap, kemudian tekstur dagingnya lembut, ia dapat membantu penonton membayangkan rasanya. Sensasi itu akan membuat penonton selesa dan filem kami akan lebih berkesan kerana itu,” terang studio terbabit dalam satu pengenalan berkenaan pameran terbabit pada 2017.
“Untuk menggambarkan rasa dan kebahagiaan yang enak, pemandangan makanan sudah memadai. Tidak perlu lagi dialog,” tambahnya lagi.
Sumber: [1]