Kaka Azraff Kenang Jasa Zizan Razak Bawa Masuk Industri

Penyanyi Kaka Azraff meluahkan perasaan terima kasihnya terhadap rakan seindustri, Zizan Razak kerana menjadi gerangan yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam dunia nyanyian.

kaka azraff kenang jasa zizan razak bawa masuk industri

Kongsinya menerusi satu temu ramah bersama media tempatan, “Apapun yang dilalui sebelum ini, Zizan tidak pernah pukul canang bahawa dialah insan yang menaikkan nama saya. Malah sekali pun Zizan tidak pernah membangkitkan perkara ini.

“Jadi, saya percaya Zizan ikhlas dalam membantu saya. Dia tahu betapa susahnya kehidupan saya ketika mula menjadi artis. Saya tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga,” ujarnya.

Terdahulu, Kaka pernah berkolaborasi bersama Zizan menerusi single debutnya, “Bawaku Pergi” pada 2012.

Single tersebut berjaya menaikkan nama Kaka Azraff hingga membawa kepada kolaborasi kedua bersama Zizan iaitu, “Infiniti Cinta” pada 2013.

Dalam pada itu, dedah Kaka lagi, pada masa lalu, ketika dia mula bergelar penyanyi, Kaka pernah menggunakan produk ‘tester’ di farmasi untuk menyolek dirinya kerana tidak punya wang untuk mengupah jurusolek.

Oleh yang demikian, kongsinya, Zizan menangis apabila dia diumumkan sebagai pemenang dalam sebuah anugerah nyanyian berprestij pada baru-baru ini menerusi single “Gila” bersama Noki K-Clique dan Loca B.

Akuinya, “Zizan tahu semua sejarah saya. Disebabkan itu, Zizan menangis apabila dapat tahu saya menang.”

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 31 tahun itu baru sahaja mengeluarkan single terbarunya berjudul “Janjiku”.

“Janjiku” mengangkat kisah benar antara Kaka dan suaminya, Adam Azriff, mengenai perjalanan jatuh bangun mereka dalam melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri.

Selain itu, Adam turut memainkan peranan utama dalam muzik video lagu tersebut yang baru sahaja dikeluarkan pada 26 Mac lalu.

 

Sumber: [1]