Seorang warga emas berusia 81 tahun hanyalah hidup dalam keadaan sederhana di Padang Kaduduak di Payakumbuh Utara Sumbar, Sumatera Barat.
Namun, siapa sangka wanita yang dikenali sebagai Biyok yang hanya bekerja sebagai pencuci pinggan, mampu menyimpan berkarung-karung wang di rumahnya sehingga memerlukan seramai 16 orang untuk mengiranya.
Wanita berkenaan yang tinggal sendirian dan tidak berkahwin pada mulanya telah menerima kunjungan ketua kampungnya untuk membantu mengemas pakaian hasil sumbangan orang ramai.
Namun, ketua kampung itu terkejut apabila menemui banyak karung berisi wang antara 100 rupiah (kira-kira RM0.02 sen) sehingga 100,000 rupiah (kira-kira RM28) dalam rumah warga emas itu.
Oleh kerana wang yang disimpan terlalu banyak dan berselerakan, beliau terpaksa meminta bantuan orang lain untuk sama-sama mengumpul dan mengira kesemua duit itu.
Katanya, mereka mengambil masa seharian untuk mengemas rumah Biyok dan turut menjumpai wang kertas lama dan baharu.
"Kita masih mengumpulkannya. Ada lagi lima karung yang belum dikira, setakat ini yang kita sudah kira adalah wangnya berjumlah 80 juta rupiah (kira-kira RM23,000)," katanya.
Biyok juga dikenali sebagai seorang yang suka membantu orang lain.
Sumber:
Tribunews