Juara Silat Dunia Tiga Kali, Sheik Farhan Tersenarai Dalam Forbes 30 Under 30 Asia

Pemuda yang pernah menjuarai kejohanan silat dunia sebanyak tiga kali, Sheik Farhan mencipta sejarah baru apabila dia disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia.

juara silat dunia tiga kali, sheik farhan tersenarai dalam forbes 30 under 30 asia

Farhan yang merupakan anak kelahiran Singapura berkongsi bahawa pada mulanya dia hampir tidak mempercayai mengenai berita gembira tersebut.

Luahnya, “Oleh itu, saya mencari dalam talian dan saya benar-benar terkejut melihat nama saya di laman web Forbes. Tetapi tentu saja, saya gembira kerana diiktiraf.”

Sekadar perkongsian, Farhan juga merupakan anak kepada pemain silat, Sheik Alauddin yang pernah menjuarai kejohanan silat dunia sebanyak dua kali.

Senarai Forbes merangkumi 10 kategori yang mana Farhan tersenarai antara 30 nama dalam kategori hiburan dan sukan.

Farhan merupakan figura silat pertama yang disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia semenjak dilancarkan pada 2016.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia silat, pemain yang berusia 24 tahun itu pernah menjuarai Kejuaraan Pencak Silat Asia 2019 di China, Kejuaraan Pencak Silat Dunia pada 2018 di Singapura, dan Sukan Asia Tenggara 2017 di Malaysia.

Turut berkongsi tumpuan dalam senarai yang sama ialah pemandu kereta lumba Thailand-Britain Alex Albon dan pemain tenis meja wanita Chen Meng dari China.

Terdahulu, Farhan baru sahaja menamatkan perkhidmatan kebangsaan di Singapura kira-kira dua minggu lalu.

Dia berharap agar kemasukannya dalam senarai Forbes dapat meningkatkan lagi sukan tersebut dalam memperoleh peminat baru.

“Mudah-mudahan melalui ini, lebih ramai orang akan tertarik dengan silat, atau sekurang-kurangnya dapat mengetahui mengenainya,” ujarnya.

Lanjutnya lagi, “Saya rasa pengiktirafan ini adalah lebih ditujukan kepada sukan itu sendiri, berbanding kepada saya sendiri.”

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN