Dua orang pelajar Malaysia mencipta sejarah apabila mereka berjaya diterima masuk ke institusi pengajian tinggi berprestij, Universiti Harvard sekali gus mengalahkan lebih daripada 50, 000 pemohon.
Jarell Cheong Tze Wen berasal dari Kuala Lumpur manakala Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi pula berasal dari Kuantan.
Cheong menamatkan pendidikan sekolah menengah di SMK Seri Bintang Utara dan mengikuti program A Level di Sunway College Kuala Lumpur.
Sementara itu, Muhammad Hamdi pula merupakan lulusan Sekolah Menengah Alam Shah di Kuala Lumpur sebelum bergelar pelajar A Level di Kolej Tuanku Jaafar.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di Twitter milik Harvard Club of Malaysia, mereka menyatakan bahawa Harvard College mengalami kadar kemasukan terendah dalam sejarah sepanjang 385 tahun kewujudunnya dan hanya menerima 1968 pelajar daripada 57, 435 pelajar yang memohon kemasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan TMC Life Sciences Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara Wan Nadiah menggambarkan kedua-dua pelajar sebagai individu yang hebat.
“Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mewakili Malaysia dalam acara SEA Games Dancesport dan juga bertanding mewakili Malaysia dalam Olimpik Matematik Asia Pasifik dan kejohanan catur antarabangsa.
“Yang menarik mengenainya ialah dia telah menemukan cara untuk meneruskan hasratnya biarpun dihadapkan dengan sekatan COVID-19.
“Dia juga mula mengajar kelas tarian kepada belia berusia 7 hingga 14 tahun melalui Zoom pada tahun lalu dan mengejar minatnya dalam Matematik secara bebas, menjelajahi kurikulum peringkat A untuk meneroka matematik berasaskan bukti.”
Sementara itu, ketua penyelidik Khazanah Nasional Berhad dan pewawancara alumni Nick Khaw pula menyifatkan kisah Muhammad Hamdi sebagai satu inspirasi kerana pelajar tersebut pernah dihadapkan dengan pelbagai pengalaman mencabar untuk sampai ke peringkat ini termasuklah bekerja beberapa pekerjaan.
Kongsinya, Muhammad Hamdi pergi ke sekolah berasrama demi mengurangkan beban tanggungan keluarganya.
“Ini mendorongnya untuk mengamati dan memikirkan secara mendalam tentang dunia di sekelilingnya, dan membaca dengan penuh semangat daripada Noam Chomsky hingga Za’aba.
“Dia juga menyalurkan tenaganya ke beberapa bidang termasuk belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan menyertai pertandingan debat pada usia 14 tahun dan mencurahkan masa serta usahanya untuk membimbing pelajar di sekolah luar bandar dan mengajar debat,” ujar Khaw, bercerita mengenai Muhammad Hamdi.
Cheong dan Muhammad Hamdi bakal menyertai Universiti Harvard bermula 2025 dengan Cheong merancang untuk mengambil jurusan Matematik sementara Muhammad Hamdi pula bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi.
Sumber: [1]