'Boleh Kami Minta Dua Pingat Emas?' Momen Atlet Qatar & Itali Kongsi Kemenangan Buat Ramai Menangis

“Bolehkah kami meminta dua pingat emas?”

'boleh kami minta dua pingat emas?' momen atlet qatar & itali kongsi kemenangan buat ramai menangis

Begitulah permintaan kedua-dua atlet dari Qatar dan Itali setelah diisytiharkan seri walau selepas tiga cubaan dalam acara lompat tinggi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ahad lalu, yang mana, pegawai bertugas dengan mudahnya bersetuju untuk menobatkan kemenangan juara buat kedua-dua atlet itu.

Mutaz Essa Barshim dari Qatar dan Gianmarco Tamberi dari Itali merupakan dua peserta terakhir yang berjaya melepasi pusingan akhir acara terbabit.

Kedua-duanya berjaya melompat melepasi ketinggian 2.37 meter namun kedua-duanya juga tidak dapat melepasi ketinggian 2.39 meter setelah melalui ketiga-tiga  percubaan.

Akhirnya, pegawai bertugas menawarkan Barshim dan Tamberi dua pilihan, iaitu sama ada mereka mengambil bahagian dalam lompatan untuk menentukan siapakah pemenang antara mereka, atau berkongsi pingat emas.

Kedua-dua atlet itu akhirnya memutuskan untuk berkongsi kemenangan dan pingat emas mereka.

“Saya memandangnya, dia memandang saya dan kami mengetahuinya. Kami hanya melihat satu sama lain dan kami tahu, itu saja, ia sudah selesai. Tidak perlu,” kata Barshim ketika ditemu ramah sejurus selesainya acara tersebut.

“Dia adalah salah satu kawan baik saya, tidak hanya di trek, tetapi di luar trek. Kami bekerjasama,” tambah beliau lagi.

Susulan itu, orang ramai turut memberi reaksi mereka di media sosial, dengan mengatakan, ia adalah salah satu momen yang cukup beremosi untuk disaksikan sepanjang berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

Sumber: [1]