Azizulhasni Awang Dedah Pernah Diketawakan Komuniti Melayu Kerana 'Broken English'

Kehebatan jaguh basikal trek Malaysia, iaitu Datuk Azizulhasni Awang sememangnya tidak dapat dinafikan lagi; kelibatnya sering kali kelihatan di pelbagai kejohanan dunia dan jarang-jarang tidak pernah membawa pulang sebarang kemenangan demi negara tercinta.

azizulhasni awang dedah pernah diketawakan komuniti melayu kerana 'broken english'

Namun, di sebalik kisah kejayaannya pada hari sebagai salah seorang atlet berpengaruh di persada sukan antarabangsa, tersiratnya satu cerita yang menyentuh mengenai pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki di bumi Melbourne, Australia.

Umum mengetahui, Melbourne itu ibaratnya rumah kedua buat jaguh keirin Malaysia itu memandangkan beliau telah berpangkalan di situ selama 14 tahun.

Terdahulu, beliau pernah mengikuti pengajian bidang sains sukan di Victoria University, Melbourne, tempat yang mana beliau bergelar atlet bukan warganegara Australia pertama yang menerima Blue Award daripada universiti terbabit pada 2015.

Menerusi satu entri yang pernah dimuat naik beliau di Facebook pada Februari lalu, Datuk Azizul mengimbas kembali kenangannya sewaktu baru hendak mula ‘menapak’ di negara orang itu.

“Pada 2007, sewaktu saya baru sampai di Melbourne, saya ingat lagi, saya dan rakan-rakan sepasukan menghadiri “BBQ party” dengan sebuah komuniti Melayu.

“Ini bukan parti cucuk langit ya, ini aktiviti biasa di perantauan, buat BBQ di mana-mana taman dan berkumpul untuk beramah mesra serta saling mengenali satu sama lain.

“Dalam komuniti tersebut, ramai yang melanjutkan pendidikan ke peringkat PhD, kira hebat dan bukan biasa-biasalah. PhD yang saya maksudkan bukanlah ‘perasaan hasad dengki’, tetapi ijazah Doktor Falsafah.

“Jadi, macam biasa, saya suka melibatkan diri dalam perbualan walaupun tak kenal atau baru kenal dengan orang. Ini kerana saya ingin meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta penguasaan Bahasa Inggeris saya yang ketika itu berada di tahap biasa-biasa saja,” coretnya.

Lanjutnya, “Entah bagaimana perbualan kami berkenaan kromosom, DNA dan RNA, semua inilah. Dalam kepala saya, teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia, kita sebut Gen2 sebagai ‘Jen Tu’ kan?

“Jadi, saya dengan yakinnya sebut ‘jen’ untuk merujuk kepada “gene” (terdiri daripada DNA) dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah ‘jin’ (tiada kaitan dengan jin pakai toncet ya, kawan-kawan),” jelasnya dalam entri sama yang sempat bergurau.

“Terus saya diketawakan dua pelajar PhD berbangsa Melayu – yang si perempuan ketawa sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya. Yang lelaki pula, acah-acah tersembur air daripada mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah.

“Kedua-duanya langsung tidak beritahu saya kesilapan itu dan saya tahu pun selepas ada di antara rakan mereka yang menceritakan kepada saya, setelah kisah tersebut dicanang-canangkan,” katanya.

Namun, akui jaguh keirin Malaysia itu, beliau sedikit pun tidak berkecil hati terhadap kelakuan mereka, malahan lagi bersikap terbuka hati menerima kekurangannya ketika itu yang masih sedang dalam proses untuk belajar.

Bagaimanapun, beliau menyatakan perbezaan antara sikap segelintir orang Melayu yang suka mengetawakan Bahasa Inggeris orang lain berbanding ketika beliau berada dalam kalangan Mat Salleh.

“Berbeza pula apabila saya berada dalam kalangan Mat Salleh (orang Barat). Bukannya nak puji mereka tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji berbanding bangsa kita.

“Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi tetapi mereka bantu perbetulkan kesilapan, sama ada dari segi tatabahasa mahupun sebutan dan sebagainya.

“Langsung tidak ada yang mentertawakan, memperlekeh, dan jauh sekali memerli. Berdasarkan pengalaman saya, 100% daripada mereka begitu dan belum pernah saya diketawakan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Azizul yang baru-baru ini berjaya merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut berkongsi mengenai pengalamannya sepanjang bertanding dalam pelbagai kejohanan dunia khususnya Sukan Olimpik.

“Pengalaman mengembara seluruh dunia dan khususnya ketika menyertai Sukan Olimpik, di situ terdapat pelbagai bangsa dari pelbagai negara, malah ada negara yang kita tidak pernah tahu kewujudannya.

“Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka menghormati satu sama lain dan inilah contoh yang kita perlu pelajari,” lanjutnya.

Di hujung entrinya itu, Datuk Azizul sempat menyentuh nasihat kepada orang ramai supaya jangan sesekali memperlekeh atau merendah-rendahkan mereka yang tidak fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Malahan, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang baru hendak mempelajari bahasa tersebut, agar jangan putus asa dan terus mencari ruang untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi; sementara buat mereka yang fasih pula, disarankan agar tidak lokek berkongsi ilmu dan saling membantu.

Tambahnya, hasratnya tidak lain tidak bukan adalah untuk kebaikan masyarakat agar terus melangkah ke hadapan bersama.

 

Sumber: [1]