Pelakon muda Korea Selatan, Yoo Joo Eun disahkan meninggal dunia pada usia 27 tahun.
Menerusi satu hantaran di Instagram, abang kepada pelakon itu menulis, “Pada 29 Ogos 2022, Joo-eun meninggalkan dunia ini untuk ke tempat yang lebih baik. Jika anda mempunyai masa, doakan dia dalam perjalanannya.”
Turut dikongsikan adalah nota terakhir pelakon drama popular, Big Forest itu yang disiarkan atas permintaan terakhir Joo Eun, sebelum akaun tersebut dinyahaktifkan.
“Saya minta maaf kerana terpaksa pergi dahulu, terutamanya kepada ibu, ayah, nenek dan abang saya,” tulis surat tersebut, seperti mana yang dilaporkan media Korea.
Mendiang turut mengatakan minatnya terhadap bidang lakonan adalah satu rahmat dan ia adalah segala-gala untuknya.
“Saya benar-benar mahu berlakon. Mungkin itu segala-galanya dan menjadi sebahagian daripada diri saya. Tetapi bukan mudah untuk menjalani kehidupan itu.
“Saya tidak mahu melakukan apa-apa lagi. Saya sudah putus asa. Ia adalah satu rahmat untuk mahu melakukannya tetapi saya juga menyedari minat mendalam itu juga adalah satu sumpahan,” ujar mendiang dalam coretan terakhirnya itu.
Mendiang yang memulakan kerjaya lakonan pada 2018 itu turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakannya atas kasih sayang dan sokongan mereka, sambil menambah bahawa mereka adalah kekuatannya untuk bertahan selama ini.
Sumber: Astro AWANI