Wanita Korea Ini Hanya Belanja RM30 Sebulan Untuk Makanan

Seorang wanita berusia 24 tahun menjadi bualan media sosial Korea Selatan baru-baru ini selepas didedahkan bahawa dia berjaya menjimatkan 100 juta won (RM346,072) dalam tempoh empat tahun dengan berjimat-cermat.

wanita korea ini hanya belanja rm30 sebulan untuk makanan

Ji Hyeon Kwak mula bekerja ketika berumur 19 tahun dan segera menyedari bahawa dia perlu menjimatkan wang jika dia ingin mendapatkan tempat tinggal sendiri.

Walaupun memperoleh purata 2 juta won sebulan (RM6,902), wanita muda itu berjaya mengetepikan amaun yang cukup setiap bulan sehingga dia berjaya menjimatkan lebih 100 juta won (RM346,072) dalam tempoh empat tahun yang terakhir.

Bagaimanapun, hasilnya tersebut bukanlah diperoleh dalam cara yang mudah.

Menurut wanita muda itu, dia terpaksa mengamalkan sikap berjimat-cermat sehingga tahap yang melampau termasuk membelanjakan hanya 8,400 won (RM29) untuk makanan setiap bulan.

Namun, dia tidak bergantung hanya pada makanan segera seperti ramen.

Kongsinya, dia menggunakan sistem kupon dan diskaun yang membolehkan dia mendapatkan kebanyakan produk pada harga rendah sehingga membolehkan dia menyimpan sebahagian besar wang daripada gajinya.

Menerusi penampilannya dalam program Master of Living, wanita itu berkata bahawa dia menggunakan pelbagai aplikasi dan tinjauan untuk menerima mata dan kod kupon yang kemudiannya boleh dibelanjakan untuk pelbagai produk.

Tetapi, dia juga tidak bergantung hanya pada sistem kupon dan diskaun sahaja untuk berjimat.

Wanita tersebut mendedahkan dia berjalan selama kira-kira dua jam sehari dan tidak membelanjakan apa-apa untuk pengangkutan selain hanya minum air paip dan teh buatan sendiri.

Pada dasarnya, dia akan memakan apa sahaja yang boleh dibelinya pada harga murah atau menang melalui aplikasi dalam telefon bimbitnya.

Menariknya, dalam temu bualnya dalam program terbabit, wanita berusia 24 tahun itu berkata dia mempunyai motivasi untuk menyimpan seberapa banyak wang yang dia boleh kerana keadaan keluarganya yang tidak begitu baik.

Justeru, berjimat-cermat dan menyimpan wang merupakan pilihan terbaik untuknya.

 

Sumber: [1]