Punca Dari Bawang, Wabak Salmonella Kini Menular Di Amerika Syarikat

Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli bawang tertentu berikutan wabak Salmonella yang dilaporkan di beberapa negeri termasuk Puerto Rico.

punca dari bawang, wabak salmonella kini menular di amerika syarikat

Menurut CNN, ia ekoran daripada penularan wabak Salmonella yang tersebar daripada bawang kuning, merah dan putih yang dibekalkan oleh  syarikat ProSource Produce LLC dan Keeler Family Farms. Bawang tersebut diimport dari Chihuahua, Mexico antara 1 Julai hingga 31 Ogos lalu, kata CDC.

 

FDA juga menyenaraikan bawang kuning dan putih daripada Green Giant Fresh serta bawang dalam kit makanan tertentu daripada EveryPlate dan HelloFresh yang juga mempunyai risiko berlakunya pencemaran.

punca dari bawang, wabak salmonella kini menular di amerika syarikat

Bekalan bawang yang berpotensi tercemar ini diedarkan antara Julai dan Ogos lalu, telah ditarik balik daripada pasaran.

 

Menurut CDC, sekurang-kurangnya 892 jangkitan dan 183 kes kemasukan ke hospital berkaitan wabak Salmonella dicatatkan setakat ini.

 

Salmonella boleh terjadi kesan dari pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang telah dimasak semasa penyediaan atau penyimpanan. Antara tanda-tanda jangkitan Salmonella adalah seperti demam, cirit-birit, sakit perut, muntah dan loya. Berikut adalah langkah pencegahan daripada jangkitan Salmonella:

  • Masak daging, ayam dan telur dengan sempurna (>75°C)
  • Elakkan memakan daging atau stik yang mentah atau separa masak
  • Gunakan peralatan yang berasingan (pisau, papan pemotong) untuk daging mentah dan yang telah dimasak
  • Simpan makanan mentah dan yang telah dimasak dalam bekas yang berasingan
  • Cuci tangan selepas menyentuh haiwan
  • Cuci tangan sebelum, semasa dan selepas mengendalikan makanan.

 

Sumber: [1], [2]