Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu rakaman suara (voice note) yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kononnya mendakwa katil di wad hospital telah penuh adalah sebagai palsu.
Menurut KKM, rakaman suara yang ditularkan itu turut mengulas mengenai kadar kematian yang semakin meningkat dalam kes ‘brought in dead’ (BID), serta penularan wavak baharu daripada negara Afrika yang kononnya menyebabkan kematian mendadak dalam satu masa.
Mesej pesanan suara yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan rasa cemas dan panik dalam kalangan masyarakat, selain ia pernah tular pada tahun 2021 dan kini diedarkan secara berleluasa sekali lagi.
“Sehubungan itu, orang ramai dipohon untuk tidak menyebarkan berita palsu ini yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat serta sentiasa berwaspada terhadap penularan wabak COVID-19 yang masih kekal di sekeliling kita.
“Pastikan anda mengambil langkah pencegahan kesihatan awam dengan sentiasa mengamalkan 3W, Elak 3S, lakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala, dapatkan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak, serta dapatkan rawatan awal dan antiviral Paxlovid sekiranya positif COVID-19,” demikian menurut KKM.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia