Virus COVID-19 Kembali Menerpa, Wuhan Saring Semua 11 Juta Penduduk

Setelah lebih setahun diisytiharkan bebas daripada wabak COVID-19, baru-baru ini, Wuhan, China terpaksa mengambil langkah menguji keseluruhan penduduknya berikutan terdapat beberapa kes positif COVID-19 yang dilaporkan telah dikesan di bandar terbabit.

virus covid-19 kembali menerpa, wuhan saring semua 11 juta penduduk

Awal tahun lalu, bandar yang didiami seramai 11 juta penduduk itu menjadi tumpuan dunia berikutan wabak COVID-19 pertama kali dikesan di sana pada 2019.

Memetik laporan BBC, sekurang-kurangnya 15 wilayah di seluruh negara tersebut kembali dijangkiti, menyebabkan pemerintah kembali bertindak melancarkan langkah ujian saringan secara besar-besaran dan mengadakan kawalan pergerakan.

Sebagai tambahan, pihak berkuasa di negara itu mengaitkan penularan kembali wabak terbabit adalah berkaitan dengan varian Delta yang kini sedang giat menular selain musim pelancongan domestik yang mengambil tempat di China.

Terdahulu, China berjaya mengendalikan wabak COVID-19 antara sempadannya.

Namun, kebimbangan kembali tercetus di negara terbabit berikutan kemunculan semula kes positif dikesan dalam kalangan pekerja di sebuah lapangan terbang yang terletak di Nanjing.

Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa dilaporkan telah menguji 9.2 juta penduduk Nanjing sebanyak tiga kali dan melaksanakan perintah berkurung terhadap ratusan ribu penduduknya.

Bagaimanapun, hujung minggu lalu pula, penularan wabak terbabit beralih pula ke salah satu destinasi pelancongan terkenal di negara itu, iaitu Zhangjiajie yang terletak di wilayah Hunan, yang mana banyak kes baru dilaporkan telah muncul.

Ia berikutan, terdapat pelancong dari Nanjing yang dikatakan telah berkunjung ke bandar terbabit.

"Zhangjiajie kini menjadi titik awal baru untuk penyebaran wabak China," kata Zhong Nanshan, pakar penyakit pernafasan terkemuka di China, kepada wartawan.

Penularan wabak tersebut juga dikatakan telah sampai ke ibu kota Beijing, dengan kota tersebut melaporkan beberapa jangkitan yang turut ditularkan oleh warga tempatan.

 

Sumber: [1]