Penduduk Indonesia Kini Boleh Jadikan Video YouTube Sebagai Cagaran Pinjaman

Penduduk Indonesia kini boleh menggunakan video YouTube mereka sebagai cagaran untuk pinjaman.

penduduk indonesia kini boleh jadikan video youtube sebagai cagaran pinjaman

Menurut laporan Coconuts, awal bulan ini, Presiden Joko Widodo menandatangani Peraturan Kerajaan (PP) 24/2022 tentang Ekonomi Kreatif yang membenarkan harta intelek digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman kewangan, melalui bank atau sebaliknya.

Susulan itu, Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly pula memberikan pandangan tambahan tentang PP yang mana beliau mengatakan video YouTube juga mungkin termasuk dalam kategori tersebut.

“Jadi, jika seseorang sudah memiliki sijil harta intelek, atau jenama, atau lesen kreatif, termasuk untuk muzik, mereka boleh memuat naik (kandungan itu) ke YouTube. Sebaik sahaja (video) mendapat berjuta-juta tontonan, lesen itu mempunyai nilai kewangan. Jika pemegang lesen memerlukan wang, kandungan itu boleh dijadikan cagaran di bank,” kata Yasonna.

“Institusi kewangan kemudiannya akan menilai harta intelek.”

Di Indonesia, hak cipta dan tanda dagangan didaftarkan dengan Direktorat Jenderal Harta Intelek, yang beroperasi di bawah Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.


Sumber: Coconuts