Beberapa negara di seluruh dunia kini mula melaporkan kehadiran varian COVID-19 yang sangat mudah bermutasi, dikenali sebagai BA.2.86.
Menurut seorang pegawai terkemuka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BA.2.86 telah dikesan di Switzerland dan Afrika Selatan selain Denmark, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
BA.2.86 adalah merupakan cabang varian Omicron yang membawa lebih 35 mutasi dalam bahagian utama virus berbanding XBB.1.5 yang menjadi varian dominan sepanjang tahun ini.
Jumlah mutasi itu setanding dengan varian Omicron yang menyebabkan jangkitan rekod berbanding pendahulunya.
Varian ini dikesan buat kali pertama di Denmark pada 24 Julai lalu selepas pesakit berisiko yang dijangkiti virus mengalami sakit teruk.
Sejak itu, ia dikesan pada pesakit yang bergejala, hasil pemeriksaan rutin di lapangan terbang dan dalam sampel air kumbahan di beberapa negara.
Bagaimanapun angka jangkitan untuk varian itu masih lagi rendah.
Saintis kini sedang menguji sejauh mana vaksin COVID-19 yang dikemas kini akan memberi kesan terhadap BA.2.86 ini.
Marion Koopmans, pakar virologi Belanda yang menjadi penasihat WHO berkata dunia kini berada dalam fasa yang sangat berbeza berbanding ketika wabak ini muncul pada tahun pertama.
Timbalan Pengarah Utama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Dr Nirav Shah, berkata agensi itu dan beberapa pihak yang lain menjumpai varian baharu itu minggu lalu dan kemudian mengadakan pertemuan dengan saintis sepanjang hujung minggu lalu mengeluarkan penilaian risiko mengenainya.
Setakat Rabu (23 Ogos), terdapat sembilan kes dikesan dan varian itu juga ditemui dalam air sisa kumbahan di Switzerland.
Dalam pada lain, subvarian COVID-19 yang disebut sebagai EG.5 telah meletakkan rakyat di AS kini dalam keadaan berjaga-jaga.
Baca: WHO Kesan Satu Lagi Varian COVID-19 Cepat Merebak Dikenali Sebagai Eris
Sumber: Reuters