Beberapa hari lalu, dunia dikejutkan dengan berita penemuan varian COVID-19 baharu, iaitu gabungan varian Delta dan Omicron yang menghasilkan Deltacron.
Penemuan itu dibuat oleh para saintis di Cyprus dan dilaporkan sebanyak 25 kes dikesan berkaitan varian ini.
Bagaimanapun, beberapa pakar virologi telah menolak laporan itu dan menganggap Deltacron sebagai satu kesilapan yang berlaku ketika ujian di makmal.
Menurut pengarah genomik di Louisiana State University Health Shreveort, Krista Queen berkata kemungkinan sumber ralat boleh dikesan daripada teknik penjujukan yang digunakan untuk mengenal pasti sampel COVID-19 yang dikumpulkan oleh para saintis di Cyprus.
Tambah lagi, terdapat laporan tidak rasmi yang menggunakan nama virus flurona atau flurone, iaitu gabungan selesama (flu) dengan koronavirus, minggu lalu.
“Janganlah kita guna perkataan seperti Deltacron, flurona atau flurone. Tolong,” kata Maria van Kerkhove, ahli epidemiologi penyakit berjangkit di WHO dalam satu hantaran di Twitter.
Menurutnya, walaupun orang ramai boleh mengalami selesema dan jangkitan koronavirus pada masa yang sama, kedua-dua virus itu tidak boleh digabungkan.
Bagi menerangkan lebih terperinci varian Deltacron ini, satu sidang media dilaporkan akan diadakan pada minggu ini selepas penemuan varian itu dikatakan berupaya menggantikan varian Omicron yang merebak dengan pantas.
Sumber: [1], [2]