Vaksin Convidecia Diluluskan KKM Sebagai Dos Penggalak

Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan vaksin dos tunggal Convidecia CanSino untuk digunakan sebagai pemvaksinan secara campuran atau dos penggalak heterologous.

vaksin convidecia diluluskan kkm sebagai dos penggalak

Menurut Solution Group Bhd (SGB), Solution Biologics Sdn Bhd, rakan kongsi pembuatan ASEAN Convidecia CanSino, dos penggalak heterologous merujuk kepada vaksin penggalak yang diberikan dengan vaksin yang berbeza daripada vaksin yang diberikan sebelum ini.

“Kementerian Kesihatan dalam satu pengumuman hari ini telah meluluskan Convidecia untuk digunakan sebagai dos penggalak heterologous, dos penggalak bagi dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi Sinovac dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB Datuk Mohd Nazlee Kamal memberitahu bahawa kelulusan KKM itu memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan dos penggalak dan lebih penting sekaligus menekankan keselamatan dan keberkesanan Convidecia sebagai vaksin dalam mencegah jangkitan COVID-19.

“Penggunaan dos penggalak daripada vaksin berbeza daripada vaksin yang diberikan sebelum ini juga lebih berkesan dengan tindak balas imun yang lebih tinggi berbanding menggunakan vaksin yang sama untuk suntikan dos penggalak,” jelasnya.

Sementara itu, keputusan percubaan klinikal menunjukkan bahawa mereka menerima dos tunggal Convidecia sebagai dos penggalak selepas menerima dua dos vaksin COVID-19 tidak aktif menandakan ia selamat dan memiliki kadar keberkesanan tinggi.


Sumber: [1]