Kajian menunjukkan bahawa laman media sosial mampu memberi pengaruh buruk terhadap imej diri pengguna terutamanya dalam kalangan gadis muda.
Manakan tidak, dengan menghabiskan masa berjam-jam sehari menelusuri gambar pengguna lain yang terlihat hebat dan menjalani kehidupan sempurna, seseorang manusia itu mampu menzahirkan perasaan negatif dalam dirinya misalnya rasa ragu-ragu dan benci terhadap diri sendiri.
Susulan itu, perbandingan tidak sihat yang dibuat terhadap diri sendiri dengan pengguna lain itu didapati berpotensi menyebabkan kemurungan dan kegelisahan dalam diri.
Sebilangan penyelidik telah mengaitkan hubungan rapat antara peningkatan kes bunuh diri yang berlaku dalam kalangan remaja sejak sedekad lalu dengan kewujudan laman media sosial yang semakin sinonim dengan anak muda dalam zaman teknologi serba canggih ini.
Antara punca yang dikatakan menyumbangkan kepada kejadian sebegini termasuklah faktor foto yang dimuat naik oleh golongan influencer yang mana kebanyakannya telah pun diubah dengan menggunakan aplikasi filter dan lain-lain.
Tahap kecantikan yang ditunjukkan dalam kebanyakan foto berkaitan sesuatu iklan berkaitan produk kecantikan dan kosmetik yang dimuat naik golongan influencer semakin menjadi sesuatu yang mustahil untuk dicapai para pengguna gara-gara kesan khas yang ditambah.
Berikutan itu, penggubal undang-undang di UK telah mengambil langkah besar dengan melarang penggunaan filter untuk mana-mana entri mereka yang bertujuan untuk mempromosikan sebarang jenis produk penjagaan kulit yang dimuat naik di laman media sosial.
Keputusan tersebut dibuat oleh Advertising Standards Authority (ASA) dan melibatkan semua jenama, influencer, dan selebriti yang berpusat di UK.
Langkah tersebut bukan sahaja bertujuan mendorong pemasar agar menampilkan foto berkaitan produk kecantikan yang lebih realistik di media sosial, bahkan juga untuk mencegah orang ramai daripada membeli produk yang tidak berfungsi dan ditokok tambah mengenai keberkesanannya pada sesuatu iklan yang dipaparkan.
Difahamkan bahawa larangan tersebut diilhamkan oleh seorang artis solek, Sasha Pallari yang memulakan kempen #FilterDrop dengan harapan dapat melihat “kulit yang lebih nyata” di sekitar laman media sosial.
Ujar Sasha, “Saya rasa kesan buruk yang dialami pengguna media sosial ini akhirnya dianggap serius dan ini merupakan langkah besar ke arah yang betul tentang penggunaan filter dan cara kosmetik diiklankan dalam talian.”
Lanjutnya lagi, “Sekarang saya dapat membantu membuat perbezaan mengenai bagaimana golongan wanita melihat diri mereka di cermin dan itu adalah mengagumkan.”
Sumber: [1]