Bermula semalam, kebanyakkan kawasan di negeri Pulau Pinang berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual dari 10 Jan hingga 14 Jan, menyebabkan ramai penduduk terjejas dan mula menyimpan bekalan air masing-masing.
Antara cara menyimpan bekalan air yang biasa diamalkan adalah dengan menggunakan tong air berwarna biru atau tong drum kitar semula.
Namun begitu, menurut Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim berkata, tong seperti itu adalah tidak selamat digunakan sebagai bekas simpanan air untuk penyediaan makanan atau minuman.
Katanya, masih ada sisa penyerapan sisa bahan kimia pada tong air tersebit meskipun ia sudah dibersihkan sebelum dijual kepada orang ramai.
“Air yang disimpan dalam tong ini tidak selamat digunakan, lebih-lebih lagi untuk di minum atau di masak ketika gangguan bekalan air selama empat hari (bermula hari ini).
“Umum tidak tahu apakah bahan yang diisi di dalamnya sebelum ini. Tong plastik ini bukan gred yang disyorkan untuk simpanan air minuman dan tidak sesuai digunakan untuk peniaga makanan atau minuman.
“CAP bimbang sekiranya trend penggunaannya berleluasa dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan pengguna terutama masalah alahan kulit dan sebagainya,” katanya dipetik Kosmo.
Menurut beliau lagi, dalam keadaan tersedak, air yang disimpan dalam tong berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembersihan, dan bukannya untuk tujuan minum.
Sumber: Kosmo!