Berbaki kurang seminggu umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketika ramai sedang membuat persiapan bagi menyambut hari lebaran ini, masih ada wargakota yang terpaksa meraikan hari raya sebagai perantau di ibu negara.
Menurut laporan, antara alasan yang diberikan perantau yang berada di ibu kota adalah masalah kewangan, selain tuntutan kerja dan juga mahu mengelakkan daripada kesesakan jalan raya.
“Saya terpaksa tunda untuk menyambut raya di Sabah kerana harga tiket kapal terbang mahal. Jadi saya tiada pilihan kecuali beraya di ibu kota bersama teman serumah.
“Saya sudah buat persiapan awal, namun harga tiket kapal terbang pada tahun ini naik mendadak. Niat di hati memang hendak beraya bersama ahli keluarga yang lain, namun nampaknya belum ada rezeki pada tahun ini,” kata peniaga baju, Muhammad Adib Iqbal, 32, yang berasal dari Kundasang, Sabah.
Ujar Adib, harga tiket kapal terbang adalah sebanyak RM1,000 bagi perjalanan sehala agak membebankannya.
Selain itu, ada juga yang mengeluh kerana tiket bas sudah pun habis, khasnya bagi perjalanan ke negeri Pantai Timur.
Buat anda yang akan memandu pulang ke kampung halaman, pastikan anda periksa kenderaan anda dan pastikan ia berada dalam keadaan selamat sebelum anda memulakan pemanduan.
Sumber: Kosmo! Online