Tidak Pernah Dijangkiti COVID-19? Ini Penjelasan Sains

Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda dunia sehingga meragut jutaan nyawa dari serata dunia, ada juga golongan individu yang tidak pernah dijangkiti wabak ini.

tidak pernah dijangkiti covid-19? ini penjelasan sains

Ia punya penjelasan sains di sebalik kejadian ini.

Lindsay Broadbent, Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Perubatan, Pergigian dan Sains Bioperubatan, Queen’s University of Belfast, menjelaskan satu teori berkenaan golongan ini yang berjaya mengelakkan jangkitan.

Menurut Broadbent, biarpun mereka terdedah kepada virus itu sehingga ia memasuki saluran pernafasan, kekurangan reseptor yang diperlukan untuk SARS-CoV-2 bagaimanapun membuatkan mereka terselamat daripada dijangkiti.

“Apabila dijangkiti, terdapat perbezaan dalam tindak balas imun seseorang individu terhadap SARS-CoV-2 yang memainkan peranan dalam menentukan tahap gejala.

“Ada kemungkinan bahawa tindak balas imun yang cepat dan kuat boleh menghalang virus daripada mereplikasi ke tahap yang lebih teruk pada peringkat pertama.

“Keberkesanan tindak balas imun terhadap jangkitan sebahagian besarnya ditentukan oleh umur dan genetik. Gaya hidup sihat pasti membantu.

“Sebagai contoh, kita tahu bahawa kekurangan vitamin D boleh meningkatkan risiko jangkitan tertentu.

“Tidak mendapat tidur yang cukup juga boleh memberi kesan buruk terhadap keupayaan tubuh kita untuk melawan patogen yang menyerang,” katanya dalam artikel di The Conversation, terbitan Channel NewsAsia.

Selain itu, susunan genetik juga mungkin menjadi punca ketahanan terhadap jangkitan SARS-CoV-2.

Terdapat juga kemungkinan yang jangkitan sebelumnya dengan jenis koronavirus lain mengakibatkan imuniti reaktif silang.

Dalam hal ini, sistem imun mungkin mengenali SARS-CoV-2 sebagai serupa dengan virus yang pernah menyerang serta menggerakkan tindak balas imun.

Jika anda merupakan antara individu yang berjaya mengelakkan jangkitan COVID-19 sehingga kini, besar kemungkinan anda mempunyai imuniti semula jadi terhadap jangkitan SARS-CoV-2 atau mungkin juga bernasib baik.

 

Sumber: [1]