Tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil terhadap penerima vaksin Sinovac yang masih belum mendapatkan dos penggalak mereka.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ini kerana kerajaan tidak mewajibkan pengambilan vaksin kepada rakyat di negara ini dari segi undang-undang.
“Tiada tindakan undang-undang… Ia bukan wajib dari segi undang-undang.
“Kalau ada pun, (individu tidak lengkap vaksin) tak dapat menikmati beberapa kelonggaran (seperti penerima) vaksin penuh.
“(Tidak mengambil dos penggalak) akan ada kesan (apabila dijangkiti COVID-19). Tetapi tidak wajib secara undang-undang.
“Kita masih lagi meyakinkan (masyarakat),” katanya.
Terdahulu, Khairy pernah menganggarkan seramai dua juta penerima vaksin jenis Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak akan hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April ini.
Februari lalu, penerima Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas diminta mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac yang mana mereka akan hilang status lengkap vaksinasi sekiranya gagal berbuat demikian.
KKM kemudian melanjutkan tempoh hingga 31 Mac 2022.
Bagaimanapun, Khairy berkata kerajaan juga tidak pernah memaksa orang ramai untuk pengambilan dos penggalak.
Sebaliknya, beliau menjelaskan saranan pengambilan dos penggalak dibuat berdasarkan data dan bukti sains, selain pengambilan dos penggalak turut diamalkan di peringkat antarabangsa.
Sumber: [1]