Tiada Lagi My Travel Pass Sebaik Negara Capai 90 Peratus Kadar Vaksinasi

Rakyat Malaysia tidak lagi diperlukan memohon My Travel Pass (MTP) untuk ke luar negara sebaik negara mencapai kadar 90 peratus vaksinasi lengkap.

tiada lagi my travel pass sebaik negara capai 90 peratus kadar vaksinasi

Perkara tersebut diperjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang percaya bahawa perkara tersebut akan dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Hari ini saya sebut, apabila 90 peratus program vaksinasi tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat keluar negara tanpa memohon My Travel Pass (MTP).

“Maknanya, tak akan digunakan My Travel Pass apabila kadar program vaksinasi tercapai 90 peratus, penduduk keseluruhan. Bermakna seperti saya kata tadi mungkin tak lama lagi,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan dahulu terpaksa membuat tapisan pergerakan ke luar negara, terutamanya menerusi penerbangan melalui skim MTP, atas tujuan membendung penularan COVID-19.

“Dulu kita buat sekatan dari segi penerbangan, kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara. Sebab itu kita tapis siapa yang nak keluar negara…tetapi atas urusan perniagaan kita benarkan.

“Untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti di luar negara, memang kita benarkan, tanpa My Travel Pass pun Tapi untuk pelancongan kita masih tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri kita benarkan, tapi mesti ada permohonan,” katanya lagi.

Sebagai tambahan, aktiviti merentas negeri turut akan dibenarkan sebaik negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa.