Susulan daripada masalah jerebu yang kini sedang melanda beberapa kawasan di Malaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan penutupan sekolah hanya akan dibuat sekiranya mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, setakat ini KPM masih kekal dengan prosedur operasi standard sedia ada sehingga menerima arahan seterusnya.
“Kita memang ada garis panduan dan kekal dengan garis panduan tersebut. Kita juga meminta semua sekolah supaya mematuhinya.
“Maknanya, kalau Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih daripada 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan ikut garis panduan tersebut,” katanya.
Selain itu, Fadhlina menegaskan garis panduan tersebut terpakai kepada semua dan mesti dipatuhi untuk mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah memberi amaran Malaysia mungkin berdepan dengan masalah jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat. Ia dijangka berlaku susulan daripada ramalan cuaca lebih kering ekoran daripada fenomena El Nino yang dijangka berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Untuk info, setakat jam 2 petang 2 Oktober 2023, sebanyak 13 kawasan mencatatkan bacaan udara IPU melebihi 100, antaranya seperti Taiping, Perak; Kuala Lumpur; Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Banting, dan Johan Setia di Selangor
Sumber: Kosmo!