Thailand Tawar Visa Rawatan Selama Setahun Bagi Pelancong

Thailand bakal menawarkan Visa Rawatan Perubatan selama setahun sebagai usaha untuk menarik pesakit warga asing selaras dengan peranan negara tersebut sebagai hab utama industri pelancongan perubatan dan meningkatkan pasaran dalam sektor terbabit.

thailand tawar visa rawatan selama setahun bagi pelancong

Menurut Timbalan Jurucakap kerajaan, Dr Ratchada Thanadirek, Kabinet negara itu secara prinsipnya meluluskan Visa Rawatan Perubatan atau Visa Non-MT untuk pesakit dan pengiring mereka (sehingga tiga orang bagi setiap pesakit) untuk mendapat rawatan perubatan di Thailand.

“Visa Rawatan Perubatan menyasarkan pelawat dan pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. Ia selaras dengan rancangan kerajaan untuk mempromosikan Thailand sebagai hab utama pelancongan perubatan,” katanya,

Lanjutnya, pesakit warga asing yang layak mendapatkan visa baru itu boleh tinggal hingga 90 hari untuk setiap ketibaan dan mendapatkan kebenaran penginapan sekiranya perlu menjalani rawatan.

Sebagai tambahan, pesakit dan pengiring masing-masing perlu menunjukkan penyata bank dengan deposit sekurang-kurangnya sebanyak 800,000 baht (RM99,852), insurans kemalangan dan COVID-19 dengan perlindungan sekurang-kurangnya 3 juta baht (RM374,445).

Dalam pada itu, tatkala tercetusnya situasi membimbangkan melibatkan varian Omicron, Kabinet negara tersebut memutuskan untuk meneruskan ujian RT-PCR untuk saringan semasa ketibaan kepada semua pelancong.

"Belum ada laporan mengenai varian Omicron di sini tetapi pihak berkuasa kesihatan awam mempertingkatkan saringan bagi membendung penularan virus yang mudah merebak itu," katanya.

 

Sumber: [1]