Rakyat Thailand kini boleh melakukan ujian COVID-19 dari rumah mereka sendiri susulan ujian kit antigen COVID-19 akan mula dijual kepada orang di hospital dan klinik yang sah di negara tersebut.
Kit ujian tersebut turut boleh didapati di farmasi yang mempunyai ahli farmasi berdaftar yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand (FDA).
Sebelum ini, Thailand menggunakan kit Real Time Polymerase (RT-PCR) untuk diagnosis.
Bagaimanapun, disebabkan proses menunggu yang memakan masa di kemudahan saringan terutamanya di Bangkok, yang mana ibu negara Thailand itu kini bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, proses tersebut kini boleh dilakukan di rumah sendiri sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan wabak itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FDA, Dr Paisarn Dunkum, menjelaskan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan bagi memastikan produk tersebut dijual dengan harga berpatutan.
“Bagaimanapun, kit ujian ini tidak akan dijual dalam talian,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul mengumumkan bahawa Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Negara (NCDC) meluluskan penggunaan kit ujian antigen di 300 hospital dan makmal perubatan selain turut menyediakan ujian RT-PCR disahkan.
Sumber: [1]