Terengganu Bakal Berhadapan Dengan Gelombang Banjir

Terengganu sekali lagi berkemungkinan berdepan dengan episod gelombang banjir berikutan risiko limpahan air laut dan hujan hingga Khamis ini.

terengganu bakal berhadapan dengan gelombang banjir

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berdasarkan ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula Rabu.

Susulan itu, sebahagian kawasan berdepan dengan risiko limpahan air laut dan hujan sekaligus berupaya menyebabkan banjir dalam tempoh tersebut.

Jelasnya lagi, stesen cerapan Kemaman juga meramal paras air laut bakal mencecah 2.0 meter hingga 3.0 meter hingga Khamis.

Sebagai tambahan, aras air laut di Kuala Terengganu pula dijangka mencapai 2.1 meter dan 2.3 meter dalam tempoh sama.

Justeru itu, penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah di negeri tersebut dinasihatkan supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh berkenaan.

Sebelum ini, gelombang banjir pertama yang melanda Terengganu bermula 2 Disember lalu menyaksikan empat daerah di negeri itu terjejas sehingga menyebabkan seramai 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

Sumber: [1]