Arena hiburan Indonesia dikejutkan dengan berita penyanyi Tegar Septian yang tiba-tiba mengumumkan bahawa dia telah bercerai bersama pasangan, Sarah Sheila Kamilia.
Tegar yang juga bekas peserta Big Stage 2022 bagaimanapun tidak mendedahkan sebab dia sebalik perpisahan itu.
Namun, menerusi perkongsiannya di Instagram Story, Tegar, 21 berkata bahawa dia bukan seorang manusia sempurna dan kini sedang mengalami tekanan.
“Sudah teman-teman, saya sudah tidak bersama Sarah lagi. Saya sudah terlalu penat dan saya janji tak mahu terulang lagi seperti ini,” coretnya.
Tambahnya, “Maaf juga saya memang seorang manusia yang tidak sempurna. Kalau kalian mahu tahu, saya benar-benar pening dan stres memikirkan urusan ini itu.
“Ya, memang saya dalam Instagram seperti romantis tetapi sebaliknya kalian tak tahu peningnya saya macam mana,” luah Tegar.
Kata pelantun lagu “Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang” itu lagi, dia turut mengalami penurunan berat badan akibat banyak berfikir dan masalah kewangan sehingga kemurungan.
“Kalian harus tahu saya selalu di rumah sahaja. Jujur saya orangnya, tak tahan duduk di rumah. Saya sampai kurus banyak berfikir. Wang susah mahu dicari, jadi buatkan saya depresi.
“Sekali lagi, mulai detik ini saya sudah tidak bersama Sarah lagi. Saya memilih untuk memulakan hidup baru,” jelasnya.
Tegar mengikat tali perkahwinan bersama Sarah pada 20 Mac 2020 di Jakarta ketika berusia 19 tahun.
Pasangan muda itu dikurniakan cahaya mata sulung mereka, Abidzar Oktaviano Putra Septian yang kini berusia hampir dua tahun.
Sumber: [1]